Kerja baik pulih Pangsapuri EDL dilaksana dengan kos RM25 juta
Johor Bahru: Kerja-kerja membaik pulih Pangsapuri Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) di sini sedang dilakukan dengan kos keseluruhan dianggarkan bernilai RM25 juta.
Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata inisiatif itu melibatkan Pangsapuri Desa Jaya, Pangsapuri Desa Dato’ Hajah Hasnah, Pangsapuri Desa Melayu dan Pangsapuri Desa Belantik.
Beliau berkata terdapat beberapa isu telah dikenal pasti di pangsapuri itu dan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Builders Sdn Bhd telah dilantik sebagai kontraktor utama, manakala Jabatan Kerja Raya Johor dilantik sebagai agensi pelaksana bagi kerja membaik pulih pangsapuri berkenaan.
“Hari ini saya berpeluang melakukan lawatan ke Pangsapuri EDL dan menjadi hasrat saya untuk terus memantau dan mengatasi isu sebegini (yang dihadapi) agar penduduk dapat merasai kualiti kehidupan yang lebih tinggi dan selesa di kawasan projek perumahan.
“Antara kerja yang sedang dilakukan termasuk baik pulih loji rawatan kumbahan (STP), sistem elektrik, sistem mekanikal meliputi sistem pencegahan kebakaran dan pembaikan lif,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Turut hadir pada lawatan itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Mohd Jafni Md Shukor dan Ketua Jabatan KPRJ Builders Mejar (B) Amin Sharip.
METRO