Dipenjara 10 tahun tipu rombongan umrah

Sungai Petani: Pengarah urusan sebuah syarikat dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Majistret, hari ini kerana menipu 202 individu untuk rombongan umrah membabitkan kerugian RM434,250, pada 2015 hingga 2016 lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Arif Mohamad Shariff terhadap tertuduh, Misbahalmunir Omar, 56, selepas pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan dan mengecualikan tertuduh daripada sebatan.



Mengikut pertuduhan, Misbahalmunir yang ketika itu Pengarah Urusan Syarikat Raudhah Mawaddah Travel & Tours Sdn Bhd didakwa melakukan penipuan terhadap Perunding dan Mutawwif Umrah, Amzari Halim.

Tertuduh dengan curang didakwa menipu Amzari yang bertindak mengutip wang daripada 202 peserta bernilai RM2,000 sehingga RM36,600 untuk rombongan umrah dan perjalanan ke Mesir pada 2015.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya bermula 2 November 2015 sehingga 28 Januari 2016 di beberapa lokasi di Kedah, Johor dan Selangor, yang membabitkan 56 transaksi selama 23 hari.

Transaksi wang dilakukan di mesin deposit beberapa bank membabitkan akaun ahli keluarga, pekerja dan syarikat yang ditubuhkan dengan nama keluarga tertuduh kerana dia tidak memberitahu syarikatnya sudah gulung tikar kepada Amzari.



Semua pertuduhan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh dikenakan denda jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin dan Galvin Loo Wei Ming, manakala tertuduh diwakili peguam Siti Salwa Jaafar, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli dan Siti Haslina Hasbullah.

Terdahulu, Siti Salwa dalam rayuannya memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi, malah tertuduh juga mempunyai lima anak dalam tanggungan termasuk penghidap autisme.

Mahkamah membenarkan penangguhan hukuman dan menetapkan jaminan RM80,000 dan seorang penjamin terhadap tertuduh dinaikkan kepada RM88,000, selain syarat tambahan pasportnya diserah kepada mahkamah sehingga selesai rayuan.



Pada 30 Januari 2015, Amzari membuat laporan polis selepas tertuduh didapati menipu semua peserta dengan menghantar itenari tiket penerbangan yang dijadualkan pada 29 dan 30 Januari 2016.

Bagaimanapun, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur didapati semua itenari tiket yang dibekalkan tertuduh tidak sah dan tidak wujud.

Difahamkan, kebanyakan mangsa penipuan tertuduh terdiri daripada pelajar tahfiz serta warga emas dan dua daripada mereka sudah meninggal dunia.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button