Mahkamah boleh guna budi bicara – Datuk Abdul Fareed

IPOH – Mahkamah ada kuasa untuk menggunakan budi bicara untuk membenarkan atau menolak sebarang permintaan penangguhan perbicaraan jika satu pasukan pembelaan baru dilantik untuk memberi masa bagi mereka meneliti dokumen dan fakta kes.

Bekas Presiden Majlis Peguam Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata mengikut Perkara 53 Perlembagaan Persekutuan, mana-mana pihak yang mempunyai kes di mahkamah ada hak untuk melantik peguam mewakili mereka.

“Dalam mana-mana kes, jika masa sudah suntuk dan ada perubahan peguam untuk apa-apa sebab contoh peguam sakit, perbalahan di antara peguam dan anak guam, adakalanya peguam akan meminta penangguhan oleh mahkamah tetapi budi bicara untuk memberikan penangguhan adalah budi bicara mutlak mahkamah,” katanya ketika ditemui di Ipoh, semalam.

Menurut beliau, mahkamah pula akan membuat pertimbangan sebelum membuat keputusan berdasarkan kepada kepentingan kes, sebab penangguhan diminta dan beberapa faktor lain.

Abdul Fareed berkata ada kes juga walaupun ada pertukaran lantikan peguam dilakukan tetapi mahkamah akan mengarahkan pihak pembelaan untuk terus meneruskankan kes walaupun peguam sudah ditukar.

Selain itu, beliau berkata mengikut etika profesion guaman dibawah Kaedah 6, Akta Profesion Guaman 1976 yang mengatakan peguam tidak boleh menerima sesuatu kes jika dia berasa dia tidak boleh untuk meneruskan prosiding kes berkenaan.

“Contohnya, satu kes ditetapkan pada bulan depan dan anak guam bertemu dengan peguam dan jika peguam melihat diari dan tidak ada kelapangan maka dia tidak boleh menerima kes berkenaan.

“Semua aspek ini perlu dilakukan satu pertimbangan oleh peguam sama ada bolehkah seseorang peguam itu mengambil kes tersebut ataupun adakah peguam ingin meminta penangguhan untuk mengkaji semua secara mendalam dan ini semua bergantung kepada keadaan,” katanya.

Pada 29 Julai lepas, Mahkamah Pesekutuan menolak permohonan pasukan peguambela Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan prosiding pendengaran bagi rayuan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang ditetapkan bermula pada 15 Ogos ini.

Prosiding berkenaan akan didengar di mahkamah mengikut tarikh yang ditetapkan sebelum ini.

Ia dijadualkan selama 10 hari.

Keputusan mahkamah menolak permohonan itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul selepas pengurusan kes rayuan berkenaan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan sebelum itu.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker