Werner kembali ke RB Leipzig
BERLIN: RB Leipzig berkata hari ini bahawa mereka menandatangani bekas penyerang, Timo Werner dari Chelsea menerusi perjanjian empat tahun.
Penyerang Jerman berusia 26 tahun itu menghabiskan dua musim di kelab England itu dan menjaringkan 10 gol dalam 56 aksi Liga Perdana.
Menurut laporan, kelab Bundesliga itu membayar £25 juta (RM134.49 juta) buat pemegang rekod jaringan kelab itu.
“Saya gembira kembali bermain buat RB Leipzig sekali lagi,” kata Werner dalam satu kenyataan dikeluarkan Leipzig.
“Saya ada tempoh yang hebat di sini antara 2016 dan 2020, ketika kami beraksi baik sebagai pasukan baharu dalam liga.
“Ia pemergian bermaruah buat saya meninggalkan kelab sebagai penjaring terbanyak, tetapi ia sudah berlalu dan saya kini melihat ke depan, kerana saya dan kelab sudah banyak meningkat sejak dua tahun lalu,” katanya.
Semalam pemain yang memiliki 53 kaps antarabangsa itu mengumumkan akan meninggalkan Stamford Bridge, tempat dia menang Liga Juara-Juara pada 2021 tetapi gagal menemui prestasi yang konsisten.
“Hari ini menandakan tamatnya perjalanan saya bersama Chelsea. Saya bersyukur dengan tempoh diberikan berada di kelab istimewa ini,” kata Werner di media sosial.
AFP