Jualan Nismilan Prihatin tawar harga rendah barangan makanan

SEREMBAN: Inisiatif Jualan Harga Ladang Nismilan Prihatin akan menawarkan jualan pelbagai barang makanan pada harga lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding pasaran semasa.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata antara barang berkenaan termasuk ayam, daging, telur, minyak masak, sayur-sayuran dan lain-lain barangan keperluan harian.

Katanya, inisiatif itu memperuntukkan sebanyak RM5 juta akan bermula dari 1 September hingga 31 Disember 2022, di seluruh daerah di negeri ini.



“Inisiatif ini akan menggembleng kerjasama dengan semua pihak sama ada pengeluar, penternak, petani dan agensi kerajaan, supaya dapat menjual beberapa barangan asas rakyat pada harga ladang sekali gus menghapuskan rangkaian orang tengah.

“Ia menawarkan harga yang lebih murah antara 20 hingga 30 peratus berbanding harga pasaran,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan adalah strategi serampang dua mata yang akan memberi impak positif kepada bukan sahaja oleh rakyat sebagai pembeli dan pengguna, malah juga pengeluar, penternak dan usahawan tani yang terbabit secara langsung dalam membekalkan produk makanan.

“Saya yakin, inisiatif prihatin ini sedikit sebanyak akan dapat meringkankan beban hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat pada ketika ini,” katanya.



Semalam, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan meluluskan usul kos sara hidup sebagai langkah menangani kos

sara hidup rakyat.

Usul yang dicadangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chennah, Anthony Loke Siew Fook itu dibahaskan 18 wakil rakyat daripada blok kerajaan dan pembangkang.



Ia membolehkan kerajaan negeri membekukan sebarang kenaikan kadar dalam apa jua cukai, sewa, caj dan bayaran sehingga masalah inflasi dapat dikawal.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Kecil Negeri Sembilan (PPPKNS), Mohamad Yusoff, menyifatkan inisiatif kerajaan negeri itu adalah tepat pada waktunya.

Beliau berkata, pihaknya menyambut baik usaha yang akan dilaksanakan itu kerana ia boleh meringankan beban rakyat terutama golongan berpendapatan rendah atau B40 berhadapan kos sara hidup tinggi.

“Kami menyambut baik inisiatif kerajaan negeri itu kerana ia dapat bantu rakyat terutama di luar dan pinggir bandar yang tidak mempunyai banyak pilihan.



“Kami berharap usaha seperti ini dilakukan secara berterusan dan bukan secara berkala kerana kerajaan perlu membantu dalam pelbagai aspek bukan sahaja membabitkan barangan keperluan asas semata-mata,” katanya ketika dihubungi.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button