Kapal LCS tak ghaib, sedang dibina di Lumut

AHMAD NAZIM memberitahu beliau berulang kali turun ke Lumut Shipyard untuk melawat projek LCS, sekali gus membuktikan kapal itu wujud dan sedang dibina di Lumut.

Lily Jasmine

KAPAL Tempur Pesisir (kapal LCS- Littoral Combat Ship) tidak ghaib sepertimana yang dicanang geng Pakatan Harapan (PH) yang nampaknya semakin terdesak mencari isu yang boleh meruntuhkan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).



 

Kapal yang didakwa ghaib itu sedang dibina di Lumut, Perak.

 

Ini disahkan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman yang memaklumkan pembinaan fizikal kapal LCS sedang giat dilaksanakan.



 

Menurutnya, sebahagian besar hull (badan) kapal-kapal tersebut dibina di Lumut Shipyard, Pengkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

 

Ahmad Nazim yang terlibat secara langsung dalam menggubal pelan pemulihan projek LCS bersama Kementerian Pertahanan Malaysia dan TLDM, memberitahu beliau berulang-kali turun ke Lumut Shipyard bagi melawat projek tersebut.



 

“Dalam kontrak sekarang, pembinaan keenam-enam kapal ini perlu dibuat dalam masa yang sama (concurrently). Bukan bina satu, deliver satu.

 

“Lumut Shipyard besar dan ada kapasiti untuk pembinaan enam kapal sekali harung,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, baru-baru ini.



 

Beliau turut menjelaskan perkara mengenai perbelanjaan sebanyak RM6 bilion daripada nilai kontrak RM9 bilion yang telah dibayar.

 

“Kenapa bayar sampai RM6 bilion, tapi progress pembinaan untuk lima kapal pertama hanya purata 55 peratus?



 

“Sebab…,RM6 bilion dibelanjakan untuk beli hampir kesemua peralatan yang perlu untuk bina enam kapal. Bulk order (secara pukal) lebih murah berbanding beli satu-satu.

 

“Sebahagian besar perbelanjaan untuk basic design dan detailed design yang dibuat oleh Naval Group, Perancis, ” katanya lagi.



 

Ahmad Nazim turut menyatakan, nilai RM9 bilion adalah untuk enam kapal di bawah kontrak asal, bermakna harga untuk satu kapal dianggarkan RM1.5 bilion.

 

Harga satu kapal LCS yang sedang dibina di Lumut itu jauh lebih murah berbanding negara lain yang lebih mahal, misalnya Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) masing-masing membelanjakan hampir RM1.9 bilion untuk satu kapal LCS yang ditempah di Perancis.

 

Selain itu, Ahmad Nazim menjelaskan, projek LCS terhenti pada 2019 atas pelbagai sebab tetapi Kabinet pada April 2022 memutuskan untuk menyambung semula pembinaannya berdasarkan pilihan paling murah.

 

Kita sedia maklum bahawa 2019 adalah zaman pemerintahan PH (21 Mei 2018 – 24 Februari 2020) dan terbukti PH mengambil pendekatan tidak bijak apabila melewatkan pembinaan kapal LCS kerana mahu melakukan forensik audit.

 

Malah pengakuan Menteri Pertahanan ketika itu, Mohamad Sabu (Amanah) dan timbalannya, Liew Chin Tong (DAP) yang akhirnya membuka mulut dalam satu kenyataan hari ini, seumpama memakan diri sendiri.

 

Dalam kenyataan itu, mereka memberitahu kelewatan berlaku kerana kerajaan PH melakukan forensik audit sebaik sahaja mula memegang jawatan dalam kerajaan sejurus selepas PRU-14 yang memakan masa 15 bulan.

 

Selepas itu, PH mengambil keputusan untuk membekukan sepenuhnya projek pembinaan kapal LCS pada September 2019.

 

Kalau mengikut jadual asal, , sebanyak lima buah kapal LCS sudah siap dan diserahkan kepada TLDM pada Ogos 2022.

 

Namun kalau projek sudah dibekukan oleh kerajaan PH, tentulah tiada sebarang pembinaan dapat diteruskan.

 

Empat bulan sebelum PRU-14 (Januari 2018) iaitu ketika kerajaan BN masih berkuasa, tahap pembinaan kapal LCS sudahpun mencapai 50.15 peratus.

 

Peratusan itu meningkat sebanyak 6.15 peratus, berbanding 44 peratus ketika majlis penamaan dan pelancaran kapal pertama LCS 1 Maharaja Lela pada 24 Ogos 2017.

 

Namun sejurus selepas PRU-14, kerajaan PH yang memerintah membuat keputusan untuk melewatkan dan seterusnya membekukan projek kapal tempur tersebut.

 

Tahap pembinaan kapal LCS hanya meningkat sebanyak 6.24 peratus sahaja iaitu daripada 50.15 peratus (kerajaan BN) kepada 56.39 peratus (kerajaan PH) pada Januari 2020.

 

Pada Februari 2020, kerajaan PH tumbang dan meninggalkan masalah kelewatan pembinaan kapal LCS kepada kerajaan Pakatan Nasional (PN) untuk diselesaikan.

 

Kerajaan hari ini kemudian memutuskan untuk menyambung semula projek yang terbengkalai angkara kebebalan kerajaan PH pada Mei 2022.

 

Kelewatan menyambung semula projek itu turut didorong faktor negara menghadapi pandemik Covid-19 selama dua tahun.

 

Dalam erti kata lain, Mohamad Sabu dan Chin Tong mengaku kelewatan projek kapal LCS menjadi amat parah sehingga kapal pertama tidak dapat diserahkan mengikut jadual asal pada 2019 kerana kerajaannya melakukan forensik audit terlalu lama, dan kemudian membekukan sepenuhnya projek tersebut.

 

Mereka juga mengaku bahawa mereka tidak pernah cuba mempercepatkan projek LCS sepanjang tempoh 22 bulan PH memerintah.

 

Saya beri kesimpulan kemajuan projek seperti berikut:

 

Januari 2015 (mula pembinaan) ke Januari 2018 iaitu 36 bulan = 50.15%

 

Januari 2018 ke Januari 2020 iaitu 24 bulan = 6.24%.

 

PH yang melewatkan, menangguhkan dan membekukan projek kapal LCS tetapi dengan muka tak malu meletakkan kesalahan kepada pihak lain.

 

Sudah gaharu cendana pula,sudah tahu bertanya pula. Kamu yang jadi punca, kamu nak salahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula.

 

Nampak sangat dah tak ada isu nak ‘mengenakan’ kerajaan BN. Kesian.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button