Enam resolusi Wanita BN

Rohana Man

KUALA LUMPUR – Konvensyen Wanita Barisan Nasional (BN) menyerahkan resolusi-resolusi yang dibentangkan dan telah dirumuskan hari ini kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada manisfesto atau Aku Janji BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

 



Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kesemua resolusi itu dikumpul daripada Pra-Konvensyen Wanita BN yang telah menyentuh pelbagai isu dan cabaran yang dihadapi rakyat.

 

Menurutnya, ini termasuk saranan dan resolusi dari akar umbi negeri masing-masing bagi diangkat ke Konvensyen Wanita BN hari ini.

 



“Resolusi ini dirumuskan untuk kita sama-sama laksanakan dan seterusnya menjadi asbab untuk kita bekerja serta bergerak dengan lebih pantas lagi,” katanya dalam ucapan Konvensyen Wanita BN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur petang ini.

 

Pada petang ini, Ahmad Zahid menyempurnakan majlis penutup Konvensyen Wanita BN.

 



Sebelum itu pada sebelah pagi, kesemua 13 wakil Wanita Negeri telah membentangkan dapatan resolusi hasil daripada Pra-Konvensyen yang telah diadakan di negeri masing-masing.

 

“Pelbagai resolusi telah dilontarkan merangkum sektor pendidikan, pengajian tinggi, teknologi maklumat dan teknologi, wanita dalam pentadbiran, kebajikan dan agama, keselamatan dan sosial serta ekonomi,” kata Noraini.

 



Berikut resolusi yang telah dirumuskan:

 

1. Mencadangkan agar diwujudkan Bantuan Khas Pendidikan dan proses pendaftaran yang fleksibel perlu dibuat bagi memastikan anak-anak yang keciciran akibat pandemik Covid-19 dapat kembali ke sekolah. Ini kerana ketika pandemik itu berlaku, masalah keciciran pelajar tidak dapat dielakkan terutama daripada keluarga B40.

 



2. Penjenamaan semula projek Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan memperluas bantuan kepada semua pelajar yang memerlukan, iaitu tidak terhad kepada B40 sahaja. Makanan yang disediakan hendaklah juga mempunyai nutrisi yang seimbang.

 

3. Mencadangkan penubuhan Agensi Khas Kewangan Wanita seperti Bank Wanita yang dapat menguruskan kewangan bagi memastikan mikrokredit, e-commerce dan insurans untuk wanita dapat diurus sepenuhnya dengan baik. Penubuhan Bank Wanita ini konsisten denga apa yang Wanita BN perjuangkan sejak 2015.

 



4. Menubuhkan Universiti Wanita. Statistik menunjukkan jumlah kemasukan pelajar wanita ke institusi pengajian tinggi (IPT) melebihi bilangan lelaki. Dari segi ratio ialah 1:3 kemasukan ke IPT. Statistik turut menunjukkan kebolehpasaran graduan wanita adalah kurang iaitu 84.4 peratus berbanding 87 peratus graduan lelaki. Dalam hubungan ini, Wanita BN merasakan perlu ada sebuah institusi yang melihat khusus kepada isu ini. Penubuhan Universiti Wanita dapat memberikan penawaran khusus yang relevan dan mewujudkan permintaan yang tinggi dalam pasaran kerja. Semua itu dan kekangan berkait dengan ketidakbolehpasaran dalam kalangan wanita perlulah menjadi agenda utama Universiti Wanita.

 

5. Dalam konteks kebajikan wanita pula, Wanita BN sentiasa prihatin terhadap kebajikan ibu yang mempunyai anak-anak kecil. Bagi yang bekerja, kita semua telah merasai cabaran bekerja dan menjaga anak pada masa yang sama. Ada wanita terpaksa berhenti kerja demi anak-anak dan ada wanita terpaksa meneruskan kerja bagi membantu menyara keluarga walaupun mempunyai anak kecil. Jadi, Wanita BN cadangkan wanita yang mempunyai bayi berusia dua tahun diberikan pilihan dan kelonggaran untuk bekerja dari rumah bagi memudahkan urusan penjagaan bayi tanpa pemotongan gaji dan elaun. Berdasarkan pengalaman bekerja dari rumah sewaktu Covid-19, kita yakin produktiviti wanita tidak akan terjejas.

 

6. Mengenai isu kerakyatan automatik kanak-kanak yang lahir di luar negara dan beribukan warganegara Malaysia yang masih belum selesai, Wanita BN memohon pihak kerajaan meminda Perlembagaan Negara agar perkataan ‘bapa’ dalam Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1 (b) Bahagian 11 Perlembagaan Persekutuan, dipanjangkan kepada ‘ibu’ atau ditukarkan kepada ‘ibu bapa’.


Discover more from My TV ONLINE

Subscribe to get the latest posts to your email.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Discover more from My TV ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading