Gol Alaba ceriakan Real Madrid
MADRID: David Alaba meledak sepakan percuma menarik selepas masuk sebagai pemain simpanan ketika juara bertahan, Real Madrid bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Almeria 2-1 dalam perlawanan pembukaan musim La Liga.
Skuad kendalian Carlo Ancelotti ketinggalan menerusi gol awal Largie Ramazani berdepan lawan yang baharu naik taraf itu tetapi Lucas Vazquez menyamakan kedudukan selepas sejam perlawanan.
Gol kemenangan terhasil berbaki 15 minit saingan di Stadium Power Horse, Almeria ketika Alaba masuk ke padang dan melencongkan bola ke kanan selepas Luka Modric dikasari di luar kotak penalti.
Real terpaksa bekerja keras bagi mendapatkan mata berdepan Almeria yang menang gelaran divisyen dua seterusnya kembali ke La Liga selepas setahun.
“Kami ada banyak cubaan ke pintu gol tetapi selepas kami mendapat gol pertama, ia menjadi lebih mudah buat kami,” kata Ancelotti.
“Saya gembira dengan cara perlawanan berlangsung. Kami tidak menakjubkan tetapi banyak perkara perlu diambil kira, seperti perlawanan pada Rabu dan cuaca panas.”
Pada satu ketika, Madrid tampak akan mengalami kekalahan pada pembukaan liga musim ini pertama kali sejak 2008, dengan Ancelotti membuat keputusan menggilirkan skuad dan ia tidak menjadi.
Pengendali itu membuat lima perubahan dalam kesebelasan utama selepas menang 2-0 menentang Eintracht Frankfurt pada Piala Super UEFA di Helsinki, ketika gol Alaba dan Karim Benzema memberikan juara Eropah itu piala pertama kempen kali ini.
Alaba dan Modric antara pemain yang diletakkan di bangku simpanan manakala pemain yang baharu ditandatangani, Antonio Rudiger dan Aurelien Tchouameni diberikan perlawanan kompetitif pertama bersama kelab baharu mereka.
AFP