Keputusan adil buat majikan, pekerja
Tempoh waktu kerja dikurangkan. Pro dan kontra untuk majikan serta pekerja.
MTUC melihat tindakan mengurangkan tempoh bekerja ini satu permulaan yang baik dan berada ke landasan ke arah pematuhan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) iaitu 40 jam seminggu.
Ia merupakan satu keputusan yang adil kepada semua pihak iaitu majikan serta pekerja yang pasti menjadi titik tolak kepada Malaysia untuk terus menambah baik waktu bekerja 40 jam seminggu seperti mana yang diperjuangkan oleh MTUC.
Ia sudah terbukti di seluruh dunia bahawa ia mempunyai kesan positif terhadap sektor ekonomi dan juga kesihatan pekerjaan.
Daripada sudut kontra pula, MTUC mengharapkan tiada majikan memanipulasi pengiraan bayaran lebih masa melalui pelaksanaan waktu bekerja 45 jam seminggu ini.
Namun MTUC berharap, melalui pelaksanaan bekerja 45 jam seminggu ini, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dapat melakukan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan semua majikan mematuhi peraturan baharu itu.
Bagaimana tempoh pengurangan waktu kerja boleh meningkatkan keberhasilan/produktiviti sesebuah agensi atau syarikat?
MTUC percaya dengan pengurangan tempoh bekerja ini, ia akan memberi lebih banyak masa kepada pekerja untuk berehat serta meluangkan masa bersama keluarga.
Bila individu itu mendapat rehat yang cukup, ia akan memberi kesan kepada produktiviti seseorang seterusnya meningkatkan semangat bekerja mereka.
Pekerja adalah aset terpenting dalam sesebuah organisasi. Mereka berperanan menentukan hala tuju dan matlamat organisasi yang hendak dilaksanakan dan dicapai.
Oleh itu, pekerja perlu komited sepenuhnya kepada organisasi, sekali gus meningkatkan produktiviti melalui tanggungjawab.
Dalam konteks ini, sekiranya pelaksanaan masa bekerja ini dipendekkan, ia akan memberi kesan yang lebih baik kepada produktiviti sesebuah organisasi.
Banyak kajian oleh pihak antarabangsa membuktikan pekerja yang sihat dan ceria sentiasa mempunyai motivasi dan semangat kerja yang lebih tinggi.
Secara tidak langsung, pekerja yang handal dan bertanggungjawab juga akan meningkatkan produktiviti, seterusnya memberi keuntungan kepada negara.
Ketika ini, ada dalam kalangan pekerja yang kerap culas bekerja dan tempoh waktu kerja yang dipendekkan mungkin menjadi ‘impian’ mereka.
Ini adalah kenyataan yang tidak benar. Di mana-mana sektor pun, baik pekerja mahupun pihak majikan pasti ada kekurangan dan culas tentang sesuatu perkara.
MTUC ingin menegaskan bahawa ini adalah suatu usaha kerajaan Keluarga Malaysia yang berada di landasan yang baik dalam memastikan piawaian perundangan perburuhan negara setaraf dengan piawaian antarabangsa dan ia juga dapat mengimbangi keperluan majikan serta keperluan pekerja.
Tempoh waktu kerja dikurangkan, adakah ia bermaksud manfaat lain untuk pekerja juga perlu dikurangkan?
Sudah semestinya tidak.
Pelaksanaan pengurangan tempoh waktu bekerja daripada 48 jam ke 45 jam seminggu adalah di antara beberapa pindaan lain yang termaktub di dalam Akta Kerja (Pindaan) 2022.
Maka, semua organisasi dan pihak majikan wajib mematuhi proses perundangan yang ada. Tidak ada kompromi tentang pelaksanaan yang bersandarkan kepada undang-undang negara.
Seperti yang termaktub di dalam Rukun Negara, semua pihak perlu mematuhi Kedaulatan Undang-Undang dan tindakan perlu dikenakan terhadap mana-mana majikan yang gagal mematuhi pindaan akta ini.
Apakah ini sejajar dengan harapan MTUC?
MTUC sejak 1949 sudah bergerak dan sentiasa memperjuangkan hak pekerja. Sudah tentu pelaksanaan ini kami sambut baik.
Ia memastikan tahap kebajikan pekerja di Malaysia selaras dengan piawaian antarabangsa.
MTUC sejak dahulu lagi memperjuangkan mengenai isu ini dan pernah mengusulkan kepada kerajaan untuk mengurangkan tempoh bekerja kepada hanya 40 jam seminggu yang selaras dengan Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
MTUC percaya tindakan ini adalah ke arah pelaksanaan berkenaan.
Apakah pemendekan waktu bekerja ini dapat menjamin kadar produktiviti dan efisien pekerja terus berada pada kualiti tertinggi?
Apabila kerajaan bersetuju untuk memendekkan ke 45 jam seminggu, kita anggap itu satu permulaan yang baik dan sekiranya ia dilaksanakan kelak serta melihat keberkesanannya, mungkin kita boleh mengkajinya semula dari semasa ke semasa.
Seperti yang telah dimaklumkan, negara lain sudah pun berjaya membuktikan bahawa pengurangan waktu bekerja sememangnya dapat menjamin kadar produktiviti yang baik.
Ia juga lebih efisyen kerana pekerja mempunyai tempoh masa yang lebih baik berbanding dengan tempoh waktu kerja yang panjang.
Pandangan MTUC, adakah Malaysia masih mempunyai jumlah jam bekerja yang lama berbanding negara-negara maju lain?
Malaysia masih lagi berada dalam jumlah jam bekerja yang setaraf dengan negara Asean mahupun negara maju yang lain.
Secara puratanya, waktu bekerja di peringkat global adalah 40 jam hingga 44 jam.
Melalui pelaksanaan 45 jam seminggu ini, ia nampaknya berada di landasan yang baik untuk kebajikan pekerja.
Namun, banyak usaha perlu dilakukan oleh semua pihak berkepentingan terutamanya kerajaan untuk bersetuju dengan saranan MTUC sejak dulu lagi untuk bekerja pada 40 jam seminggu.
METRO