Aksi ‘gila’ hanya kerana tidak mempunyai lesen
Sungai Petani: Hanya kerana tidak mempunyai lesen, seorang lelaki yang memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) sanggup mempertaruhkan nyawa dengan melakukan aksi ‘gila’ dan berbahaya dalam usaha melepaskan diri daripada dicekup polis, semalam.
Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, lelaki berusia 23 tahun terbabit yang memandu Perodua Alza bersama rakannya berusia 21 tahun dikejar polis sejauh 25 kilometer (KM) bermula dari Plaza Tol Sungai Dua, Pulau Pinang hingga ke Bandar Laguna Merbok, dekat sini.
Ketika dikejar polis, pemandu MPV itu didapati melakukan zig zag sepanjang lima kilometer di lebuh raya, melanggar palang di plaza tol, langgar lampu isyarat serta merempuh Honda Accord dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun.
Tidak cukup dengan pelbagai aksi yang boleh mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain itu, pemandu dan penumpang MPV berkenaan turut bergelut dengan anggota polis yang menahan mereka.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian bermula apabila sepasukan polis yang melakukan Op Utama Pandu Laju di Plaza Tol Sungai Dua mengarahkan MPV dipandu suspek supaya berhenti untuk pemeriksaan.
“Anggota polis menunjukkan isyarat supaya pemandu MPV itu berhenti namun suspek secara tiba-tiba terus memecut kenderaannya.
“Melihatkan tindakan itu, anggota polis terus mengejar suspek selain menggunakan pembesar suara untuk mengarahkan pemandu berhenti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek bagaimanapun bukan sahaja tidak mengendahkan arahan itu malah terus memecut dan memandu secara zig zag dari KM113 hingga KM108 Lebuhraya Utara Selatan menghala Utara.
“Suspek kemudian memandu ke arah susur keluar Plaza Tol Sungai Petani Selatan dan melanggar palang di lorong empat sebelum memecut kenderaan ke Jalan Lencongan Barat.
“Anggota polis terus mengejar suspek sehingga persimpangan lampu isyarat Bandar Laguna Merbok dan ketika itu pemandu MPV melanggar lampu merah serta merempuh sebuah Honda Accord,” katanya.
Zaidy berkata, rempuhan kuat itu menyebabkan MPV dipandu suspek berpusing dan melanggar pembahagi jalan serta tiang papan tanda selain tayar kiri hadapan dan belakang kenderaan meletup.
“Ketika itu, dua suspek terbabit cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan dengan anggota polis namun mereka akhirnya berjaya ditahan.
“Hasil pemeriksaan tidak menemui apa-apa barang salah dalam kenderaan berkenaan namun kita masih menjalankan lanjut untuk mengetahui punca suspek melarikan diri,” katanya.
Menurutnya, setakat ini siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai lesen memandu dan mereka masing-masing berasal dari Perlis serta Jitra itu tidak mempunyai pekerjaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
METRO