Berat ujian menimpamu, Amsyar…

Kuala Lumpur: Kenyataannya memang perit, namun Mohamad Amsyar Adha Mohamad Izuan perlu menerima takdir bahawa dirinya menderita penyakit kanser leukemia ALL (Acute Lymphoblastic Leukemia) walaupun baru berusia 11 tahun.

Berikutan itu, Mohamad Amsyar Adha atau mesra disapa Amsyar perlu menjalani rawatan kemoterapi selama 36 hari yang sudah selesai pusingan pertamanya pada April lalu.

Bagaimanapun, dia mengalami komplikasi menyebabkan limpanya dibuang menerusi satu pembedahan pada 31 Mei lalu mengakibatkannya perlu bergantung dengan ubat seumur hidup.



Bercerita lanjut, ibu kanak-kanak itu Mariani Che Rosli, 34, mengakui terkejut apabila doktor mengesahkan penyakit dihidapi Amsyar pada Mac lalu kerana anak sulungnya tiada sejarah penyakit kronik.

“Jujurnya memang ‘down’ masa dapat tahu daripada doktor mengenai penyakit Amsyar. Mana tidaknya, Amsyar tidak pernah sakit teruk, namun itu yang dinamakan ujian apabila datang dengan tiba-tiba.

“Ikutkan memang sedih sampai ke hari ini, tetapi tak nak tunjuk di depannya kerana enggan dia hilang semangat walaupun hanya Allah saja yang tahu perasaan saya sebagai ibu melihat anak menderita,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Mariani, dia sebelum ini bekerja sebagai juruwang di sebuah pasar mini, namun mengambil keputusan berhenti bagi menjaga dan memberi perhatian kepada Mohamad Amsyar Adha.



Katanya, dia terpaksa melakukannya kerana tiada siapa boleh diharapkan bagi menjaga anaknya tambahan pula sudah berpisah dengan bekas suami pada awal tahun ini.

“Rawatan kemoterapi untuk Amsyar tidak dapat diteruskan kerana doktor memberitahu risikonya besar, namun dia masih bergantung dengan ubat.

“Ubat kemoterapi saja perlu diambil selama dua tahun dan sejak minggu lalu hingga kini, saya bersama Amsyar berada di sini (Kuala Lumpur) untuk temujanji dengan doktor di mana kami berdua bermalam di Rumah Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) berhampiran hospital.

“Mujurlah emak (Zainun Mahmood, 57) membantu jaga anak bongsu (Mohamad Iffan Adha, 8), sementara saya di sini (hospital),” katanya.



Menurutnya, dia bercadang untuk mencari kerja dalam waktu terdekat kerana perlu menyara dua anaknya terutama jika berlaku kecemasan.

“Sejak berpisah, saya masih berhubung dengan bekas suami berkaitan soal anak. Bekas suami masih ambil tahu dan bertanggungjawab memberi nafkah kepada anak, malah ada juga melawat Amsyar cuma tidak selalu kerana komitmen kerja sebagai pengawal keselamatan di Genting Highlands,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0699541100464267 atau menghubunginya di talian 019-9016124.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button