SUKIPT 2022: Kontinjen UiTM terus mara

Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (kiri) hadir pada majlis Perasmian SUKIPT 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak baru-baru ini.

Rohana Man

TANJUNG MALIM – Kedudukan pingat kontinjen institusi pengajian tinggi (IPT) di Sukan IPT (SUKIPT) 2022 setakat semalam menunjukkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) terus mara dengan mengumpul 31 pingat.



 

Setakat pukul 11 malam tadi, kontinjen UiTM mengutip 10 pingat emas, sembilan pingat perak dan 12 pingat gangsa.

 

Dua universiti awam lain yang mengikut rapat kontinjen UiTM adalah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) meraih lapan pingat emas, tujuh pingat perak dan empat pingat gangsa dengan keseluruhan kutipan adalah 19 pingat.



 

Manakala kontinjen Universiti Putra Malaysia (UPM) memberikan saingan sengit kepada UPNM dalam jumlah pungutan pingat emas apabila turut meraih lapan pingat emas, selain dua pingat perak dan lima pingat gangsa, sekali gus mengumpul 15 pingat.

 

Kejohanan yang menawarkan 208 pingat emas itu sedang berlangsung di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan sekitar kawasan Tanjung Malim, Perak bermula 15 Ogos lalu dan akan berakhir pada 23 Ogos ini.



 

Sebanyak 66 kontinjen dengan kira-kira 6,000 atlet dari universiti awam, universiti swasta, politeknik dan kolej komuniti seluruh negara menjayakan temasya sukan yang sudah memasuki edisi kelima ini.

 

Majlis perasmian SUKIPT 2022 telah disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang diiringi Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di UPSI, Tanjung Malim, Perak pada Ahad lalu.



 

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff.

 

Sebanyak 21 jenis sukan dipertandingkan dan Perdana Menteri ketika merasmikan temasya sukan itu mengumumkan kerajaan akan memberi ganjaran wang tunai RM20,000 kepada atlet yang berjaya memecahkan rekod kebangsaan.



 

Ganjaran itu diumumkan bagi menaikkan semangat atlet untuk terus berjuang dan berharap SUKIPT 2022 dapat melahirkan lebih ramai atlet IPT berprestasi tinggi dan berminda juara.

 

Sementara itu, Noraini berkata, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) optimis temasya SUKIPT mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan sukan, bukan sahaja di peringkat IPT malah di peringkat nasional.



 

“Bagi pihak KPT, saya berharap kecemerlangan atlet IPT ini akan diteruskan momentumnya di pelbagai podium sukan lain.

 

“Insya-Allah, KPT komited menggilap dan mengasah muka-muka baharu untuk mewakili negara ke pentas lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik,” tambahnya.

 

SUKIPT merupakan anjuran KPT dengan kerjasama empat majlis sukan iaitu Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM), Majlis Sukan Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (MASISWA), Majlis Sukan Politeknik (MSP) dan Majlis Sukan Kolej Komuniti (MASKOM).

 

Temasya sukan itu julung kali diadakan pada 28 Oktober hingga 11 November 2012 bertempat di sekitar Lembah Klang.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button