Moevd ; tawar perlindungan untuk jemaah umrah
Oleh – Ku Zairi Ku Kamal
Seringkali kita dihidangkan berita mengenai penipuan pakej umrah oleh pengendali pakej melibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.
Melihat kepada keperluan untuk melindungi jemaah , Moevd mengambil inisiatif membangunkan satu aplikasi baru bagi menawarkan pakej umrah yang terjamin.
Satu MoU telah ditandatangani semalam oleh Moevd Groups Sdn Bhd dengan kerjasama Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) dan Zurich General Takaful Malaysia Berhad di sebuah hotel di Ampang.
Ketua Pegawai Eksekutif Moevd, Zumy Zuheidy, berkata aplikasi Moevd itu menawarkan konsep servis ‘people’s lifestyle’ atau gaya hidup, namun turut menjadi platform pertama di Malaysia menyediakan pelbagai tawaran pakej umrah.
“Pelanggan boleh membuat perbandingan dan memilih pakej umrah terbaik untuk diri sendiri atau keluarga secara dalam talian, pada bila-bila masa dan di mana sahaja, daripada aplikasi ini.
“Selain itu, Moevd turut menawarkan servis e-hailing, insurans, penghantaran pembungkusan dan makanan, yang mudah dan mesra pelanggan.
“Moevd turut bertujuan membantu orang ramai daripada terpedaya dengan orang tengah tidak berlesen, sebaliknya terus kepada syarikat bertauliah,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Zurich General Takaful Malaysia Berhad, Shamsul Azman.
Menariknya, Zumy berkata, aplikasi berkenaan turut menyediakan perkhidmatan pemandu e-hailing wanita khas untuk pelanggan wanita sahaja tanpa perlu ragu.