Agong optimis pertingkat hubungan Malaysia-Turkiye

ISTANBUL: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah optimis hubungan dua hala antara Malaysia dengan Turkiye akan terus meningkat ke tahap lebih tinggi menjelang 60 tahun hubungan kedua-dua negara pada 2024.

Baginda bertitah, Malaysia dan Turkiye yang bersetuju meningkatkan taraf hubungan dua hala kepada perkongsian strategik komprehensif akan terus kekal kukuh melalui pelbagai kerjasama antara kedua-dua negara.

“Lawatan Negara ke Turkiye adalah landasan pengukuhan hubungan dua hala dan menjadi pemangkin persahabatan yang terjalin sejak lebih enam dekad lalu.



“Justeru saya berharap hubungan antara Malaysia dengan Turkiye akan terus terpelihara dan dijaga rapi,” titah baginda pada majlis Santapan Malam bersama 100 rakyat Malaysia yang bermastautin di sini malam tadi..

Majlis Bersama Diaspora Malaysia itu adalah sebahagian daripada rangka Lawatan Negara Yang di-Pertuan Agong selama tujuh hari di Turkiye bermula Isnin lalu.

Turut hadir, Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan anakanda baginda, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah serta Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan ‘Athiyatullah.

Hadir sama, Menteri Pengiring yang juga Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.



Terdapat hampir 600 warga Malaysia yang kini menetap di seluruh Turkiye membabitkan pelajar institusi pengajian tinggi, golongan profesional dan yang berkahwin dengan warga Turkiye hadir pada majlis itu.

Al-Sultan Abdullah bertitah, ini bukan saja menunjukkan dengan jelas keakraban hubungan dua hala tetapi turut memberi gambaran peluang baik kepada rakyat Malaysia menimba ilmu atau mencari rezeki di negara itu.

Baginda bertitah, kejayaan rakyat Malaysia di Turkiye yang mencapai banyak kejayaan dan pengiktirafan dalam pelbagai bidang adalah cerminan sebenar rakyat Malaysia yang sentiasa berusaha menjaga dan mengharumkan nama negara di mana saja mereka berada.

“Nur Balqis Abdul Rashid adalah rakyat Malaysia pertama diiktiraf Kerajaan Turkiye, sebagai penterjemah profesional daripada bahasa Turkiye ke bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.



“Saya secara peribadi bangga melihat bagaimana Presiden (Recep Tayyip) Erdogan mengakui sendiri kelebihan Nur Balqis yang bertutur bahasa Turkiye dan bahasa Inggeris ketika pertemuan empat mata saya dengan Erdogan,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah yang menzahirkan rasa sukacita dengan Lawatan Negara ke Turkiye turut bertitah, keberangkatan baginda dan keluarga umpama mimpi apabila dapat menjejakkan kaki ke bumi Turkiye buat kali pertama selepas berumur 63 tahun.

Sementara itu, pengusaha restoran di Turkiye, Syaraff Al Sadat Mohsein yang hadir pada majlis itu berkata, kerjasama dua hala yang terus kukuh dalam pelbagai sektor memberi peluang kepada ramai pihak terutama ahli perniagaan dan pelabur Malaysia.

“Pada November 2021, kami melihat peta dunia, semua (negara) menutup (sempadannya). Negara yang membuka sempadan satu-satunya adalah Turkiye dan kita mengambil keputusan, mengambil peluang di sini untuk memulakan perniagaan di Turkiye,” katanya.



Peluang bertemu baginda berdua pada Majlis Santapan Malam itu memberi makna cukup besar kepada juruterbang Turkish Airline, Fauzul Kabyr Faizal Nur, yang menyifatkan jalinan kerjasama Malaysia dan Turkiye membuka banyak peluang kepada rakyat Malaysia mencari rezeki di Turkiye.

“Saya rakyat Malaysia yang berbesar hati sebab baginda berdua datang ke Turkiye. Baginda juga bertitah ini kali pertama datang ke Turkiye dan ia satu penghargaan besar terhadap kami rakyat Malaysia yang menetap di Turkiye,” katanya yang dua tahun berkhidmat di syarikat penerbangan terkemuka itu.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button