Berniaga online, pelajar raih RM26,000 sebulan

Oleh – Azrin Muhammad

 

Berniaga online, pelajar raih RM26,000 sebulan
Muhammad Jamil Amzarie (tengah) ketika mengadakan pertemuan dengan Dr. Zul Ariffin Maaraf (kanan).



SEREMBAN – Selepas mengikuti bengkel anjuran Universiti Tun Hussien Onn Malaysia (UTHM) tahun lalu, seorang pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak menyangka mampu meraih pendapatan berjumlah RM26,000 setiap bulan.

Pelajar Diploma Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran UiTM Shah Alam, Muhammad Jamil Amzarie berkata, pendapatan itu diraih melalui perniagaan atas talian yang dilakukan dari kolej kediamannya selepas mengikuti Bengkel eBay & Amazon anjuran syarikat terbitan universiti (STU).

“Setelah membuat kira-kira, saya berjaya mengaut keuntungan berjumlah AS$41,285.93 bersamaan RM183,495.48 sepanjang beroperasi sejak Januari hingga 6 Ogos baru-baru ini.

“Sebanyak 141 produk Malaysia telah dipasarkan di Amerika Syarikat menggunakan platform eBay dan 90 peratus daripadanya adalah produk buatan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, baru-baru ini.

Tambahnya, kesungguhannya sebelum ini sudah membuahkan hasil yang lumayan termasuk mendapat anugerah sebagai Top Rated Seller serta Ebay Account Manager.

Dalam masa sama, Muhammad Jamil berkongsi, dia sedang merancang untuk melebarkan perniagaan sedia ada ke platform lain seperti Amazon, etsy dan Bonanza bagi meningkatkan lagi pendapatan dan jualan.

Katanya lagi, keuntungan yang diperoleh menerusi perniagaan di eBay digunakan untuk membayar yuran pengajian dan tambah menguntungkan apabila tidak perlu menyewa premis perniagaan.

Sementara itu, Pengarah Spin Off STU UTHM, Dr. Zul Ariffin Maaraf berkata, eBay dan Amazon merupakan platform bertrafik tinggi melibatkan bidang pemasaran produk yang berpotensi.

Beliau yang juga Pensyarah Matematik Pusat Pengajian Diploma, UTHM memberitahu, Amazon dan eBay sudah dikenali di lebih 26 negara maju di seluruh dunia dan mempunyai lebih 187 juta pembeli tetap setiap bulan.

“STU UTHM mempunyai formula tersendiri yang sudah terbukti berjaya mengasah bakat dan melahirkan usahawan yang mampu untuk menjadi Usahawan eBay dan Amazon.

“Menerusi pemantauan dan kelas bimbingan yang dibuat secara bulanan, peserta akan mampu menguasai kemahiran berdaya saing untuk menjadi pedagang di platform antarabangsa,” katanya.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button