30 kekosongan jawatan pegawai kanan IPK Sabah

Kota Kinabalu: Sebanyak 30 perjawatan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah perlu diisi susulan kenaikan pangkat, perpindahan dan persaraan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, pihaknya berharap semua kekosongan yang ada itu dapat diisi dengan secepat mungkin.

Menurutnya, perkara itu perlu diberi keutamaan bagi memastikan hal keselamatan di negeri ini terus terjamin.



“Kita tidak mahu, kekurangan dalam keanggotaan ini akan menjejaskan perkhidmatan polis di lapangan kelak.

“Berdasarkan semakan perjawatan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, kekosongan adalah membabitkan jawatan dua Deputi Superintendan, 12 Asisten Superintendan dan 16 Inspektor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Pemakaian Pangkat dan Meraikan Pertukaran Pegawai Kanan Polis di IPK Sabah, hari ini.

Di majlis berkenaan, dua pegawai kanan IPK Sabah iaitu Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Nor Azizulkifli Mansor akan menjawat Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, IPK Selangor.



Pegawai Pentadbiran Jabatan Pengurusan IPK Sabah, Deputi Superintendan Rohana Anak Nanu pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Belaga, Sarawak.

Idris berkata, kekosongan jawatan bagi Pasukan Polis Marin (PPM) di negeri itu turut berada dalam keadaan genting.

Katanya, ia kerana pasukan berkenaan adalah barisan hadapan yang terbabit secara langsung operasi khas di perairan Sabah.



“Dengan 70 kekosongan keseluruhan membabitkan sembilan pegawai dan 61 anggota, ia perlu diisi dengan segera bagi memperkukuhkan lagi kekuatan pasukan,” katanya.

Sementara itu, majlis hari ini turut menyaksikan acara pemakaian pangkat kepada Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan George Abd Rakman yang kini memangku pangkat Asisten Komisioner.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Champin Piuh pula memangku pangkat Superintendan.

Selain itu, seramai 25 pegawai berpangkat Asisten Superintendan turut dinaikkan ke pangkat Deputi Superintendan mengikut kaedah saringan berteraskan kompetensi tahun 2022.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button