Pemuda Uygur berjaya buka kilang naan hasil simpan gaji selama 12 tahun

25/12/2020 03:33 PM

Oleh Ahmad Syukri

YUTIAN, 24 Dis — Berkat usaha dan penat lelah menyimpan selama 12 tahun Ailijiang Abdul Aini, 29, akhirnya berjaya membuka kilang membuat roti naan dengan bermodalkan RMB1 juta (RM 620,000).

Tatkala mereka yang seusia dengannya sibuk memilih hala tuju kehidupan masing-masing selepas tamat persekolahan, Ailijiang yang ketika itu berumur 17 tahun gigih bekerja sebagai pembuat roti naan.



“Kemahiran saya dalam membuat roti naan diwarisi daripada ayah saya yang juga seorang pembuat roti naan terkenal di sini.”

“Beliau antara yang menjadi inspirasi saya untuk membina perusahaan ini”, ujar pemuda yang juga pemilik Syarikat Pembangunan Inovasi Kebudayaan Roti Naan Meiyu Berhad.

Menurut pemuda berketurunan Uygur itu, impiannya untuk membuka sebuah kilang berjaya direalisasikan pada 2018, dengan bermodalkan RMB3 juta (RM 1.86 juta).

“Selain mengumpul hasil titik peluh sendiri, saya turut menerima sumbangan RMB2 juta (RM1.2 juta) daripada Kumpulan Syarikat Lapangan Terbang Xinjiang Berhad yang melabur dengan perniagaan ini”, tambah Alijiang bapa kepada seorang cahaya mata itu.



Alijiang berkata, beliau gembira dengan pembukaan kilang membuat roti naan itu kerana impiannya untuk membantu penduduk setempat yang miskin tercapai.

“Setelah kilang roti naan ini dibuka, saya dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada 91 orang kakitangan, termasuk 64 orang yang terdiri keluarga miskin.”

“Tentang gaji bulanan pula, bagi tukang masak lelaki adalah sebanyak RMB5,000 (RM 3,100), manakala bagi kakitangan wanita (bekerja sebagai penyedia bahan membuat roti ) pula memperoleh sekitar RMB2,500 (RM 1,550) hingga RMB3,200 (RM 1,984) bergantung kepada kesukaran tugas”, ujar Alijiang lagi.

Katanya, terdapat 15 jenis roti naan dan kilangnya mampu menghasilkan kira-kira 15 ribu keping roti sehari termasuk naan biasa, berinti bunga mawar dan walnut.

“Kesemua roti naan ini kemudiannya akan dipasarkan ke Urumqi (Ibu Kota Xinjiang), Hotan dan sesetengah bandar di luar wilayah Xinjiang seperti Beijing, Tianjin, Shanghai dan Guangzhou.

“Selain itu, terdapat gerai yang menjual roti naan ini di 10 buah lapangan terbang”, ujar Alijiang.

Beliau berkata, nilai penjualan tahunan mencatat sekitar RMB8 juta (RM 4.9 juta) hingga RMB12 juta (RM 7.4 juta) dengan keuntungan bersih RMB600 ribu (RM361 ribu) hingga RMB1 juta (RM620 ribu) setahun.

Ketika diminta berkongsi perancangan masa depan, Alijiang menyimpan impian untuk melebarkan sayap dengan mengembangkannya kepada pemprosesan roti naan dan memasarkannya ke seluruh China, selain membuka gerai jualan di semua lapangan terbang di negara ini.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker