Penulis ‘Billion Dollar Whale’ lancar pemburuan Jho Low

KUALA LUMPUR: Penulis bersama buku ‘Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World’ meminta bantuan orang ramai untuk mengesan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Perkara itu diuar-uarkan selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 tahun dan membayar denda RM210 juta kerana menyeleweng dana SRC International, anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Penulis bersama, Bradley Hope menerusi ciapan di Twitter, kelmarin menyatakan Jho Low sebagai kepingan terakhir ‘teka teki’ selepas Najib dihantar ke penjara dan menggesa orang ramai berkongsi maklumat keberadaan Jho Low menerusi emel [email protected].



Beberapa pengikutnya di Twitter yang membalas ciapan itu, mengatakan ahli perniagaan terbabit mungkin berada di China.

Membalas perkara itu, Bradley dalam satu ciapannya malam tadi memberitahu pemburuan sudah bermula dan meminta bantuan orang ramai yang berada di Hong Kong, Taipei dan China.

“Sebarkan perkara ini,” katanya.

Difahamkan sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion diselewengkan daripada dana 1MDB oleh Jho Low dan beberapa pegawai peringkat tinggi yang menguruskan dana itu serta sekutu mereka.



Polis Diraja Malaysia (PDRM) cuba mengesan dan membawanya pulang ke negara ini, namun usaha pihak berkuasa itu setakat ini masih belum berhasil.

Jho Low berdepan saman AS$3.78 bilion atau RM16.82 bilion yang difailkan oleh 1MDB dan empat anak syarikatnya.

Dengan pihak berkuasa Malaysia terus mencarinya, dia dilaporkan menawarkan penyelesaian tetapi Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan perkara itu ditolak.

Laporan berita yang memetik sumber, mendakwa bahawa Jho Low menawarkan RM1.5 bilion kepada kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan pertuduhan terhadapnya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button