Sultan Nazrin terima Anugerah Perdana Tokoh Penulis Diraja

Sultan Nazrin terima Anugerah Perdana Tokoh Penulis Diraja

Oleh Azrin Muhammad

KUALA LUMPUR – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima Anugerah Perdana: Tokoh Penulis Diraja menerusi penerbitan buku berjudul Striving of Inclusive the Development From Pangkor Modern Malaysia State, semalam.

Anugerah berkenaan disampaikan sendiri Pro Canselor UPM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Ir. Muhamad Zohadie Bardaie sempena Majlis Anugerah Buku Negara dan Ekspo Buku Negara 2022 yang berlangsung di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Titah Sultan Nazrin, penulisan buku itu merupakan penemuan kajian mengenai pencapaian kemajuan Malaysia berdasarkan analisis komprehensif data-data ekonomi dan sosial dalam tempoh 150 tahun bermula dari Perjanjian Pangkor pada tahun 1874.

“Penyelidikan, kajian dan analisis penerbitan buku ini mengambil masa hampir 20 tahun dan melibatkan proses kerja yang sangat mencabar untuk mendapatkan data yang tersimpan di pelbagai tempat dalam bentuk rekod yang tidak seragam.

“Kemudiannya diteruskan lagi dengan proses memilih, menapis, menyelaras dan menyeragamkan maklumat data yang dikumpulkan,” titah baginda.

MENYIAPKAN BUKU TUNTUT ELEMEN KESUNGGUHAN, KETEKUNAN, KETABAHAN DAN KESABARAN

Tambah baginda, perjalanan menyiapkan buku tersebut menuntut elemen kesungguhan, ketekunan, ketabahan dan kesabaran, sekali gus membuatkan seseorang penulis akan merasa nikmat apabila buku yang dihasilkan menjadi bahan bacaan serta rujukan masyarakat.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, negara akan mencipta kejayaan lebih gemilang jika setiap warga diberikan peluang yang saksama untuk dapat menikmati faedah daripada pembangunan yang berlaku dalam negara agar tercipta sebuah masyarakat yang adil.

“Pencapaian kejayaan Malaysia yang menakjubkan selama ini adalah hasil usaha bersama setiap warga Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum yang menganut agama, berlatar belakang pelbagai budaya.

“Kepelbagaian ini hendaklah dilihat sebagai aset yang wajib diharmonikan untuk membina khazanah kekayaan negara dengan mengamalkan budaya keterangkuman hingga terbentuknya warga yang kukuh berpadu dalam kepelbagaian,” titah baginda.

Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pengarah UPM, Tengku Syarif Laksamana Perlis Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail, Pengerusi Lembaga Pengelola Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN), Tan Sri Prof. Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar, Naib Canselor UPM, Datuk Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman, Presiden Yayasan Pembangunan Buku Negara, Dr. Hasan Hamzah dan Pengerusi, Program Ekspo Buku Malaysia 2022.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button