KPT jalin kerjasama dengan Nova Scotia



Oleh Rohana Man

KPT Nova Scotia
Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tengah) dan Brian Wong (kanan Noraini) bergambar kenangan bersama delegasi dari Malaysia di Halifax, Kanada baru-baru ini.

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) terus mempergiatkan usaha menjadikan Malaysia sebagai Hab Pendidikan Global yang bakal menjadi pilihan utama pelajar antarabangsa dari seluruh dunia.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, pelbagai program akan diadakan bagi menarik kedatangan pelajar antarabangsa ke Malaysia.

Katanya, antara perancangan KPT ke arah itu adalah melancarkan program EduTourism dalam masa terdekat ini.

“KPT merancang untuk melancarkan program EduTourism dalam masa terdekat ini bagi mencapai sasaran menarik sejumlah 250,000 pelajar antarabangsa ke Malaysia menjelang tahun 2025,” katanya ketika berucap pada majlis pertemuan dengan Menteri Pendidikan Lanjutan Wilayah Nova Scotia, Brian Wong di Halifax, Kanada semalam.

Pertemuan itu dilakukan sempena lawatan kerja rasmi Noraini ke Kanada.

 

KPT jalin kerjasama dengan Nova Scotia

Turut hadir pada majlis pertemuan itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Dr. Mohd Zabri Yusoff; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi,Prof. Dato’ Dr. Husaini Omar; Ketua Pegawai Eksekutif, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Dato’ Dr. Mohammad Shatar Sabran; Naib Canselor UiTM, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor dan Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr Mazlan Abd Ghaffar.


Nova Scotia yang bermaksud Scotland Baharu dalam bahasa Latin merupakan salah satu semenanjung di Kanada yang menghadap Lautan Atlantik yang terkenal dengan keindahan dan kekayaan alam semula jadi, serta memiliki antara institusi pengajian tinggi (IPT) terbaik di negara itu.

PROGRAM PENGAJIAN DENGAN KERJASAMA IPT


Mengulas lanjut, Noraini berkata, melalui EduTourism, KPT akan memperkenalkan program pengajian bersandarkan pengalaman (experience-based) merangkumi pelbagai kursus akademik dan bukan akademik.

“Program pengajian experience-based ini akan ditawarkan untuk tempoh 18 bulan dengan kerjasama IPT seluruh negara.

“Ia turut berfungsi sebagai pusat pelancongan sehenti bagi pelajar antarabangsa,”katanya.

Justeru, katanya, kerjasama serta kolaborasi strategik yang dapat memanfaatkan Malaysia dan Kanada dari aspek pendidikan tinggi diharap dapat dimeterai bagi memperkukuh hubungan baik kedua-dua negara, terutamanya melibatkan wilayah tersebut.

Setakat ini, sebanyak 18 Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara lima buah IPT di Malaysia dengan institusi-institusi pendidikan tinggi di Kanada.

Sementara itu, Wong berkata, pendidikan bukan sekadar untuk mendapatkan segulung ijazah tetapi lebih kepada kaedah untuk menentukan hala tuju yang diimpikan pelajar,” katanya.

Justeru, katanya, fleksibiliti wajar diberikan kepada pelajar dan tidak semestinya mereka perlu menghabiskan tempoh pengajian dalam masa tertentu.

“Apa yang lebih penting adalah bagaimana pelajar menggunakan ilmu yang diperoleh sepanjang menuntut di IPT untuk menentukan masa depan masing-masing,” katanya.

Dalam satu perkembangan lain, Dr. Mohammad Shatar berkata, kerajaan wilayah Nova Scotia menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dengan MQA melibatkan Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) dan program ‘micro-credentials’.

Katanya, kerajaan wilayah Nova Scotia turut berminat untuk belajar daripada Malaysia mengenai pelaksanaan inisiatif pendidikan fleksibel yang dilaksanakan MQA.

“Kerjasama akan dibuat antara MQA dan kerajaan wilayah Nova Scotia bagi menjayakan inisiatif APEL dan ‘micro-credentials’ dalam masa terdekat ini,” katanya.





Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker