Transformasi Newcastle diiringi cita-cita besar
London: Newcastle United bermain seperti enam pasukan teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika seri 3-3 pada perlawanan mendebarkan di tempat sendiri menentang juarqa bertahan, Manchester City, hujung minggu lalu.
Berbekalkan beberapa prospek yang bakal ditandatangani pada jendela perpindahan pemain, memang jelas arah tujuan pasukan berkenaan.
Berlaku transformasi hebat sejak pelaburan AS$360.36 juta (RM1.612 bilion) sebaik kelab itu diambil alih hartawan Arab Saudi pada Oktober lalu apabila Newcastle bangkit daripada pasukan kedua tercorot liga kepada pasukan yang mampu bersaing hebat dengan pasukan terbaik seperti City.
Pengurus, Eddie Howe, yang menggantikan Steve Bruce pada hujung musim lalu menikmati dana 150 juta pounds (RM793.41 juta) untuk menandatangani pemain baharu tahun ini, berkata Newcastle mesti bercita-cita besar.
Penyokong kelab itu yang menderita sejak sekian lama memerlukan sedikit galakan dan semangat untuk bergembira selepas banyak kegagalan berlaku di River Tyne sebelum ini.
Bagaimanapun, statistik menunjukkan Newcastle berada pada landasan tepat untuk memecahkan dominasi enam pasukan utama membabitkan Manchester City, Liverpool, Manchester United, Chelsea, Tottenham Hotspur dan Arsenal.
Pada 2022, mereka meraih secara purata 1.95 mata bagi setiap perlawanan berdasarkan data daripada penganalisis Gracenote dan pencapaian itu berkongsi tempat keempat di EPL bersama Arsenal dan mengatasi Manchester United (1.30) dan Chelsea (1.71).
Pada 2021, mata purata mereka pada setiap perlawanan adalah 0.88 dan kemudian berlaku peningkatan ketara ketika 27 aksi EPL di bawah kendalian Howe musim lalu apabila mencatatkan 1.63 mata sebelum Newcastle menamatkan cabaran di tempat ke-11.
Newcastle semakin hampir menandatangani penyerang Real Sociedad, Alexander Isak dengan rekod kelab sekitar 60 juta pounds (RM317.36 juta) dan langkah itu sudah pasti menajamkan jentera depan pasukan.
Sekiranya anak buah Howe mengekalkan mata purata pada hujung musim 2022, mereka mampu menamatkan aksi dengan 74 mata dan cukup untuk menduduki kelompok empat terbaik beradasarkan 23 daripada 27 perlawanan EPL.
Newcastle semakin meningkat di setiap bahagian dan Howe membuatkan pasukan itu semakin sukar ditewaskan apabila memperkukuhkan benteng dengan kehadiran Kieran Trippier, Dan Burn dan Matt Targett.
METRO