‘Seperti pesakit terlantar, tiba-tiba sembuh, boleh berlari’
KUALA LUMPUR: Pengarah Kejurulatihan Beregu Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky turut merasai ‘debaran’ dihadapi Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang berjaya menamatkan penantian 45 tahun pingat emas sulung negara di pentas Kejuaraan Badminton Dunia.
Malah bekas juara dunia di Lausanne pada 2015 ketika bergandingan bersama Ricky Subagja itu turut menggambarkan keturajaannya sebaik saja mata terakhir dikutip Aaron-Wooi Yik yang seakan ‘seorang pesakit terlantar dan tiba-tiba sembuh dan boleh berlari’.
“Saya melihat banya negara seperti Jepun, England, Denmark, Korea Selatan, China dan Indonesia sudah pun meraih kemenangan (gelaran) namun Malaysia tak pernah. Mereka (pemain Malaysia) tidak dapat satu pun (gelaran) dan tentunya saya bersyukur kepada tuhan.
“(Perasaan) seperti kamu rasakan yang kamu mahu berjalan tetapi tidak boleh tetapi secara tiba-tiba boleh berjalan malah boleh berlari. Itu perasaan saya terhadap pemain ini apabila menang dan menjadi pemain Malaysia pertama meraih gelaran juara dunia, sesuatu yang menakjubkan.
“Rasa berdebar itu tidak berhenti sejak semalam (di separuh akhir) sebab ia perlawanan yang sangat sengit… saling bertukar mata. Hari ini (final) apabila melepas set pertama, saya nampak bahasa tubuh mereka dan syukur mereka dapat mengatasi dan mengawal situasi,” kata Rexy dalam temubual dengan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
Semalam, Aaron-Wooi Yik mencipta sejarah meraih gelaran juara dunia dalam acara beregu lelaki apabila menewaskan gandingan berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan dengan keputusan straight set 21-19, 21-14.
Kejayaan Aaron-Wooi Yik di pentas final itu secara tidak langsung turut menamatkan badi dan kritikan banyak pihak terhadap beregu berkenaan yang sering terkandas di separuh akhir dan final sejak mula digandingkan pada 2017.
Mengulas mengenai pencapaian beregu itu, Rexy berkata, dia sering memberikan kata motivasi supaya Aaron dan Wooi Yik sentiasa bermain untuk diri sendiri serta keluarga sebelum ia bakal menjadi satu kejayaan buat seluruh warga Malaysia.
“Saya seorang yang mempunyai mentaliti positif dan sudah beberapa tahun menjadi jurulatih. Jadi kritikan itu boleh membina kekuatan mentaliti untuk semua pemain terutama yang berada di kelas dunia,” katanya.
Rexy turut berkata, sejak mula kembali ke BAM awal tahun ini, dia sering menumpukan kepada usaha memupuk ‘minda kemenangan’ ke atas pemain dan membina keyakinan Aaron-Wooi Yik berbanding skil dimiliki pemain.
“Kalau memikirkan tahap yang mereka berada, kita tak bercakap mengenai skil ataupun teknik kerana tidak banyak yang perlu diubah namun lebih banyak terarah kepada bagaimana untuk kepercayaan dan keyakinan diri apabila berdepan pemain utama.
“Jika mempunyai pemikiran ‘boleh meraih mata dengan skil yang ada, mereka boleh bersaing dengan siapa pun’. Ini yang saya cuba lakukan dan cuba mengurangkan kesilapan mudah dan cara pemikiran mereka.
“Semua ini perlu saya pertingkatkan dan apabila semuanya berjaya digabungkan, saya fikir semua skil akan datang secara sendiri,” kata Rexy yang turut mengharapkan kejayaan ini dapat menjadi tambahan semangat buat Aaron-Wooi Yik meraih lebih banyak gelaran selepas ini.
Aaron-Wooi Yik selepas ini dijadual menyertai Terbuka Jepun yang bakal membuka tirainya esok di Osaka sehingga 4 September ini.
BHOnline