Tekong darat disyaki bawa migran keluar Malaysia ditahan
KOTA TINGGI: Penahanan seorang warga asing yang sedang memandu kereta Honda CR-V di kawasan semak tepi Jalan Pengerang malam kelmarin, membawa kepada penahanan tiga tekong darat dan 16 migran.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, semua tekong darat dan migran itu ditahan berdekatan kawasan itu disyaki cuba keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.
Berikutan itu, katanya, pada jam 6 pagi hari yang sama pihaknya menahan sebuah kereta Proton Waja dipandu lelaki warga asing berumur 30-an yang disyaki terbabit dalam menguruskan perjalanan semua migran tersebut.
“Hasil soal siasat terhadap tangkapan tersebut, pihak polis kemudian dibawa ke sebuah rumah penampungan di kawasan Kulai dan menahan seorang wanita warga tempatan.
“Wanita berumur 28 tahun ini pula disyaki menjadi penjaga rumah terbabit dengan menyediakan tempat sebagai transit kepada semua migran yang ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Hussin berkata, semua tekong darat dan migran itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
“Polis Kota Tinggi memberi amaran keras dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran ini,” katanya.
BHOnline