Patung Haaland yang ‘menyakitkan mata’ dicuri
LONDON: Patung penyerang Manchester City, Erling Haaland setinggi tiga meter yang dikatakan ‘menyakitkan mata’ dicuri.
Patung yang diukir daripada batang pokok seberat lebih 1 tan itu menerima kritikan kerana ia langsung tidak menyerupai bintang berusia 22 tahun itu.
Ia diletakkan kira-kira 15 meter di atas sebuah kedai di bandar kelahiran pemain itu di Bryne, Norway.
Namun pencuri — disyaki peminat yang tidak berpuas hati — menggunakan sebuah kren untuk mengambilnya pada waktu malam.
Ahli perniagaan, Tore Sivertsen menghabiskan £10,000 (RM52,400) untuk membina patung itu sebagai penghormatan selepas City menandatangani pemain itu walaupun dia mengakui ia hodoh.
Ia dinaikkan ke tempat berkenaan dua minggu lalu dan Sivertsen mahu menjualnya untuk membiayai pembinaan sebuah hospital Tanzania sebelum ia tiba-tiba hilang pada Rabu.
Pengedar traktor, Sivertsen memberitahu The Sun: “Kami semua sangat bangga dengan Erling.
“Saya rasa adalah sesuatu yang bagus untuk membina patung bagi memberi penghormatan.
“Ada sebahagin merungut ia terlalu hodoh, kita perlu terus terang, Erling pun bukanlah lelaki yang kacak. Tapi saya masih terkejut ada orang mencurinya.”
Sivertsen meminta pengukir kayu, Kjetil Barane, membuat patung berkenaan daripada balak yang berusia 100 tahun.
AGENSI