Pengawal peribadi ditahan miliki kerambit

Ampang: Tindakan seorang pengawal peribadi menyimpan kerambit dan objek menyerupai pistol mengundang padah apabila dia ditahan polis di sebuah stesen minyak di Ukay Perdana, Hulu Klang, di sini, awal pagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Hulu Klang membuat rondaan di lokasi sebelum menahan lelaki berusia 21 tahun itu pada 1.56 pagi.

Menurutnya, suspek terbabit ditahan ketika menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan.



“Hasil pemeriksaan di dalam beg silang suspek menjumpai sebilah kerambit, objek menyerupai pistol dan satu unit walkie talkie.

“Suspek dipercayai menyimpan senjata berkenaan untuk kegunaan pekerjaannya sebagai pengawal peribadi,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai dua rekod jenayah berkait kes dadah dan saringan ujian air kencing didapati negatif dadah.

Katanya, suspek direman empat hari sehingga 4 September ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan 1958 serta Seksyen 36 Akta Senjata 1960.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button