Penurunan harga minyak sawit botol beri kelegaan golongan B40
KUALA LUMPUR: Harga maksimum minyak sawit botol pelbagai saiz yang mencatatkan penurunan berkuat kuasa 8 September hingga 7 Oktober ini nyata melegakan orang ramai terutama golongan peniaga, sekali gus mengurangkan beban mereka.
Usahawan muda, Nurul Asyikim Zakaria, 32, berkata penurunan harga minyak masak memberi impak positif dalam perniagaan makanannya yang sememangnya memerlukan stok bekalan itu sepanjang masa.
Beliau berkata, berita baik itu secara tidak langsung memberi sekurang-kurangnya kelegaan kepada pengguna yang selama ini terpaksa menampung kos tinggi bagi bahan mentah berkenaan.
“Peningkatan kos harga barangan yang kini semakin meningkat sudah pasti menjejaskan kami sebagai peniaga. Saya perlu melaraskan kuantiti, tetapi pada masa sama kualiti juga perlu dijaga.
“Pengguna tidak akan membeli makanan jika harga yang diletakkan terlalu tinggi walaupun sedar kos bahan yang disediakan meningkat. Dengan adanya inisiatif daripada kerajaan, saya berasa cukup lega kerana bebanan yang ditanggung sedikit ringan,” katanya.
BH semalam melaporkan, harga maksimum minyak sawit botol lima kilogram (kg) diturunkan kepada RM33.50, 3 kg daripada RM21.70 kepada RM21.10, dua kg (RM14.70 kepada RM14.30) dan RM7.70 kepada RM7.50 bagi botol satu kg.
Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa dilaporkan berkata, penurunan harga tetap boleh dilaksanakan walaupun harga minyak sawit mentah (MSM) mencatat sedikit peningkatan.
Katanya, berlaku sedikit kenaikan harga MSM pada Ogos berbanding bulan sebelumnya, iaitu daripada RM4,060 kepada RM4,170 satu tan, naik RM110.
Nur Asyikim yang juga pemilik Port Mancing Fishing Village Ulu Yam, berkata kekangan yang dihadapinya sebelum ini adalah sukar untuk mendapatkan minyak paket di pasaran.
Katanya, penurunan harga minyak masak sawit botol pastinya membantu golongan peniaga khususnya dalam penjimatan kos perniagaan.
“Mahu atau tidak, saya perlu menjaga kualiti setiap masakan yang dijual. Saya perlu ambil kira kos yang dikeluarkan,” katanya yang akan memborong lima botol minyak masak sawit 5 kg seminggu sekali.
Sementara itu, bagi Nur Hafizah Mohd Yusof, 34, keputusan kerajaan menurunkan harga maksimum minyak masak sawit botol adalah tepat melihat pada situasi negara ketika ini.
Sebagai pekerja sambilan perniagaan kecil-kecilan, Nur Hafizah menyifatkan kesungguhan kerajaan dalam membantu golongan B40 amat dihargai.
“Keperluan minyak masak sangat penting dalam sesebuah isi rumah. Tidak kiralah seseorang itu menjalankan perniagaan makanan atau tidak.
“Jika sekarang, saya perlu berjimat membeli minyak masak botol bersaiz kecil yang bertahan tidak sampai sebulan. Jika beli yang besar pula ia mungkin bertahan selama sebulan.
“Apa boleh buat, tetapi itulah cara yang perlu dilakukan memandangkan minyak masak botol besar mencecah RM34. Ini tidak termasuk barangan lain yang memerlukan kami sekeluarga berjimat,” katanya.
Beliau juga berharap kerajaan dapat memperbanyakkan kuantiti minyak paket bagi kegunaan keluarga yang kurang berkemampuan untuk membeli minyak botol.
“Minyak paket sudah untuk didapati di mana-mana kedai, bukan semua orang mampu membeli minyak masak botol.
“Sekurang-kurangnya jika kerajaan mengambil inisiatif menyediakan keperluan satu paket untuk satu keluarga ia sudah memadai, namun memahami peniaga makanan lebih memerlukan untuk penjimatan kos mereka,” katanya yang memilih untuk memasak di rumah berbanding membeli makanan di luar.
BHOnline