RM1 bilion tambah baik operasi bas henti-henti
KOTA BHARU: Kerajaan memperuntukkan RM1 bilion untuk pengoperasian sistem bas henti-henti di seluruh negara bermula 2012 sehingga kini dalam usaha penambahbaikan perkhidmatan itu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata peruntukan itu termasuk menjalankan Dana Sokongan Sementara Bas Berhenti-Henti (ISBSF) dan Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST).
Beliau berkata, pelaksanaan itu sangat penting kepada golongan yang tidak mempunyai kenderaan untuk bergerak ke sesuatu destinasi dan menjadikan pengangkutan awam sebagai pilihan utama.
“SBST diperkenalkan atas jenama myBAS pada 2015 yang juga migrasi perkhidmatan bas henti-henti oleh pengendali bas di seluruh negara.
“Perkhidmatan ini turut dirangka bagi memastikan penumpang memperoleh perkhidmatan bas sepanjang laluan sosial yang dulunya kurang mendapat perhatian, di samping mengurangkan pertindihan laluan supaya liputan perkhidmatan mencapai tahap optimum.
“Sistem ini dikawal selia dan dipantau setiap hari oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang kini menjadi satu daripada agensi di bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian Mutiara Rentas Desa (MRD) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM4 juta setahun menerusi ISBSF bagi pengoperasian bas henti-henti di Kelantan, sekali gus membuktikan kepekaan kerajaan terhadap kesukaran orang ramai terutama di luar bandar.
Katanya, bas MRD diperkenalkan di Kelantan yang dikendalikan di bawah Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) dan beroperasi sejak Februari lalu selain dimanfaatkan lebih 60,000 penumpang sehingga 27 Ogos lalu.
“Kementerian memilih E-Mutiara yang berupaya menggerakkan semula perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini serta mengambil kira pengalaman selama 30 tahun yang ada pada syarikat Bumiputera itu.
“Setakat ini, sebanyak 27 bas mini MRD beroperasi sepanjang 13 laluan di seluruh Kelantan dan dalam perancangan menambah 14 lagi bas mini baharu menjelang akhir tahun ini,” Katanya.
Ka Siong berkata, semua bas itu dilengkapi teknologi seperti Sistem Pemantauan Masa Nyata, Sistem Kedudukan Global (GPS) dan sistem tiket elektronik bagi memastikan perkhidmatan terbaik diberikan kepada pengguna.
BHOnline