Panglima Salleh wira Parit Sulong

 

 MOHD SALLEH ABDUL KARIM dikenali Panglima Salleh.

 

Oleh – Rohana Man

BATU PAHAT – Generasi muda Parit Sulong mungkin tidak banyak mengenali Mohd Salleh Abdul Karim yang lebih dikenali Panglima Salleh atau Kiai Salleh atau Panglima Salleh Selempang Merah.

 

Beliau merupakan seorang pahlawan Melayu keturunan Banjar yang bangkit menentang kekejaman komunis selepas kekalahan Jepun pada Perang Dunia Kedua.



 

Beberapa blog ada menceritakan tentang kepahlawanan Panglima Salleh termasuk akhbar tempatan, Wikipedia dan Facebook Saya Orang Johor.

 

Malah terbit novel bertemakan sejarah bertajuk Panglima Salleh Selempang Merah hasil nukilan Zaharah Nawawi, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (cetakan keempat, 2018) berharga RM35 senaskhah.

 

Anak kelahiran Tanjung Olak Batu, Bukit Pasir, Muar, Johor pada 1916 itu menghembuskan nafas terakhir kerana penyakit radang paru-paru di Hospital Besar Johor Bahru pada 21 April 1959 dan dikebumikan di Kampung Minyak Beku, Batu Pahat.

 

Siapa Panglima Salleh?



 

Jom terus membaca agar kita mengenalinya dengan lebih dekat dan diharap dapat membangkitkan semangat keperwiraan dalam suasana sambutan Hari Kemerdekaan Ke-65 akhir bulan ini.

 

Segalanya bermula apabila Jepun kalah dan berundur dari Tanah Melayu.

 

British pula yang sebelum itu menjajah Tanah Melayu memutuskan untuk kembali tetapi mengambil sedikit masa.

 

Berlaku tempoh ‘kekosongan’ iaitu antara Ogos hingga September 1945. Kesempatan itu digunakan sepenuhnya oleh Parti Komunis Malaya (PKM) untuk mengisi kekosongan tersebut, namun kekejaman yang dilakukan semakin memuncak sehingga menakutkan penduduk.

 

PKM bermaharajalela dengan memperkenalkan peraturan antaranya seperti berikut:

 

• Mengutip cukai dengan kadar yang tinggi.

• Memaksa penduduk menyerahkan hasil tuaian.

• Merompak tanaman dan ternakan penduduk kampung.

• Menculik wanita muda tidak kira anak dara, janda atau isteri orang untuk dijadikan anggota komunis dan hamba seks.

• Menyerang kampung dan membunuh orang awam yang tidak berdosa tanpa alasan.

• Mengadakan Mahkamah Rakyat yang tidak adil dalam melaksanakan hukuman.

 

• Melarang orang Islam solat berjemaah dengan alasan membuang masa.

 

Kekejaman askar Bintang Tiga sangat melampau dan berleluasa sehingga ke selatan tanah air.

 

Masyarakat Melayu di kawasan Parit Sulong di Batu Pahat, Johor yang ketika itu tidak mempunyai kelengkapan senjata api untuk mempertahankan diri telah memilih Panglima Salleh untuk memimpin pakatan bagi mempertahankan diri daripada kekejaman komunis.

 

Carian maklumat di internet dan memetik kenyataan pengkaji sejarah serta penulis biografi, ‘Penghulu, Panglima, Kiyai Salleh Abd Karim’, Siti Patonah Muashot, katanya, penduduk kampung hidup dalam ketakutan kerana ramai hilang tanpa dikesan, ditangkap dan diseksa sehingga mati oleh komunis.

 

Ekoran itu, orang Melayu bangkit mempertahankan hak serta nyawa mereka termasuk Penghulu Mukim Empat, Kari Md Saat (Penghulu Kari) yang bertindak mengumpulkan penduduk untuk menyerang balas, namun ikhtiar itu menemui jalan buntu dan gagal.

 

“Ada penduduk kampung tahu mengenai kehebatan ilmu kebatinan Mohd Salleh dalam mengatur strategi peperangan. Beliau kemudian memaklumkannya kepada Penghulu Kari,” katanya.

 

Panglima Salleh kemudian dilantik untuk membentuk pasukan pejuang, namun pada awalnya hanya 38 orang menyahut cabaran kerana ramai yang sangsi dengan kepimpinan beliau.

 

Langkah pertama Panglima Salleh adalah membuat persiapan lengkap meliputi aspek kerohanian sebelum meminta setiap pengikutnya memakai kain selempang merah sebelum melancarkan serangan pertama di Kangkar Senangar, Parit Sulong .

 

Seterusnya, dengan hanya bersenjatakan parang panjang dan amalan Ayat Empat, Panglima Salleh mara memimpin penduduk untuk menggempur kubu-kubu askar Bintang Tiga di Bukit Berdiri dan Bukit Alam, Parit Lubok, Semerah, Ayer Kuning, Bakri dan Muar.

 

Pasukan pejuang di bawah pimpinan Panglima Salleh terkenal dengan gelaran Tentera Parang Panjang dan Selempang Merah iaitu kain selendang berwarna merah yang diberikan kepada setiap pengikutnya ketika menghadapi atau berhadapan musuh.

Terdapat pelbagai kisah mengenai kehebatan ilmu kebatinan Panglima Salleh dan pengikutnya.

 

Dikatakan berlaku kejadian aneh semasa pertempuran iaitu anggota komunis yang bersenjata api hanya menembak ke udara (arah atas) kerana pada pandangan mereka, Panglima Salleh dan pengikutnya kelihatan seperti gergasi setinggi pohon kelapa.

 

“Melihat anggota komunis leka menembak ke udara, Panglima Salleh memanfaatkan situasi tersebut dengan melibas parang dan pedang ke arah anggota komunis sehingga ramai yang rebah dan terkorban.

 

Menurut Siti Patonah, perkara sama berulang dalam serangan kedua yang disertai 100 pejuang dan kejayaan menjadi milik pasukan Panglima Salleh apabila tentera komunis tumbang di Bukit Alam dan Tongkang Pechah.

 

Kejayaan pasukan pejuang Panglima Salleh itu mula tersebar ke seluruh daerah berdekatan, sekali gus menguatkan keyakinan orang Melayu terhadap kepimpinan beliau menentang komunis.

 

Serangan Panglima Salleh diteruskan ke Bukit Naning dan Air Hitam di Muar serta Semerah dan Parit Ju di Batu Pahat.

 

Apa yang pasti adalah Panglima Salleh berjaya menyekat kekejaman dan kemaraan Bintang Tiga secara berkesan sehinggalah pihak British kembali menjajah Tanah Melayu.

 

Keberanian dan kehebatan Panglima Salleh menentang kekejaman komunis mendapat pengiktirafan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar yang bertitah pada 26 Disember 1945 bahawa Mohd Salleh adalah Panglima Melayu.

 

Sejak itu, Mohd Salleh mendapat gelaran Panglima.

 

Selain itu, bagi mengenang jasa Mohd Salleh, Sultan Johor telah mengurniakan Pingat Ibrahim Sultan (PIS) kepada Panglima Salleh pada 17 September 1955.

 

Jasa Panglima Salleh tidak terhenti di situ sahaja, apabila beliau menjadi ikon pemimpin disanjungi masyarakat apabila bekerjasama dengan Datuk Onn Jaafar memimpin orang Melayu menentang gagasan Malayan Union.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker