Antony bantu Man Utd akhiri permulaan sempurna Arsenal

LONDON: Antony menjaringkan gol pada penampilan sulung Manchester United dan dua gol Marcus Rashford mencetus kemenangan 3-1 ke atas Arsenal.

Kemenangan itu mengakhiri permulaan sempurna Arsenal dalam kempen Liga Perdana Inggeris musim ini, dan keempat berturut-turut buat United yang kini melonjak ke tangga kelima liga.

Antony yang membuat penampilan pertamanya selepas ditandatangani dari Ajax – bekas kelab pengendali United, Erik ten Hag – pada harga 82 juta pound (RM ) Khamis lalu.



Penyerang 22 tahun dari Brazil itu hanya memerlukan 35 minit untuk menemui sasaran dalam aksi di Old Trafford.

Arsenal bangkit dengan menyamakan kedudukan menerusi Bukayo Saka, tetapi Rashford mengejutkan pendahulu liga itu dengan dua gol dalam tempoh sembilan minit selepas Antony digantikan oleh Cristiano Ronaldo.

“Dia akan menjadi ancaman dalam Liga Perdana Inggeris. Kami tiada pemain di sayap kanan, Sancho dan Rashford boleh bermain di posisi itu tetapi mereka lebih gemar di sebelah kiri, jadi sekarang kami mempunyai pemain yang boleh bermain dengan baik di sebelah kanan.

“Dia beraksi dengan baik tetapi saya rasa dia mampu melakukannya dengan lebih lagi. Dia menjaringkan gol yang hebat tetapi kesemua gol adalah usaha berpasukan,” kata Ten Hag.



Kekalahan pertama Arsenal selepas lima kemenangan berturut-turut cukup perit untuk ditelan oleh skuad kendalian Mikel Arteta.

“Ia amat mengecewakan kerana dengan cara mereka bermain di sini, ia mengagumkan tetapi kami memerlukan keputusan yang lebih baik,” kata Arteta.

Arsenal hampir mendahului permainan pada minit ke-12 apabila Gabriel Martinelli menewaskan David de Gea, namun jaringan itu dibatalkan selepas VAR meminta pengadil Paul Tierney untuk melihat ulang tayang.



Tierney membatalkan keputusan gol selepas mendapati Martin Odegaard menolak Christian Eriksen bagi mendapatkan bola sebelum gol berkenaan.

Antony meletakkan United di depan pada minit ke-35 hasil hantaran Rashford, dan mengambil kesempatan di atas kelemahan pertahanan Arsenal untuk membuka jaringan.

Namun Saka menyamakan kedudukan dua minit kemudian sebelum Rashford kembali meletakkan United di depan pada minit ke-66 hasil serangan balas.

Gol ketiga United juga hasil serangan balas selepas benteng Arsenal terbuka luas dan Rashford memanfaatkan hantaran Eriksen.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button