Ayahanda sihat dan selamat – Nizar

Oleh Azrin Muhammad


Ayahanda sihat dan selamat - Nizar
Datuk Nizar Najib mengesahkan bapanya, Datuk Seri Najib Razak kini sihat dan selamat selepas dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) awal pagi semalam.


PEKAN – Datuk Seri Najib Razak yang dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pagi tadi kerana masalah kesihatan berada dalam keadaan sihat.

Anaknya, Datuk Nizar Najib berkata, bapanya berada dalam keadaan sihat dan selamat tetapi memohon orang ramai berdoa untuk bapanya yang sedang menjalani hukuman penjara selama 12 tahun di Kajang.

“Alhamdulillah ayahanda berada dalam keadaan sihat dan selamat. Kita doakan beliau boleh menyesuaikan diri dengan keadaan yang baharu,” katanya ketika ditemui dalam acara Solidariti Untuk Bossku di Dataran Pekan, Pahang.

Terdahulu, sebuah portal berita tempatan melaporkan Najib dikejarkan ke HKL awal pagi tadi akibat masalah kesihatan.

Laporan yang sama turut memetik sumber terdekat Najib yang mengatakan dia mengalami pendarahan pada usus dan sedang melalui proses siasatan perubatan secara menyeluruh.

Setakat ini, masih belum ada perkhabaran sama ada Najib akan terus berada di HKL ataupun di bawa pulang kembali ke Penjara Kajang bagi menyambung hukuman.

Mahkamah Persekutuan baru-baru ini mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib selepas didapati bersalah pecah amanah, salah guna kedudukan dan penggubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. (SRC).

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button