Erling Haaland terus berbahaya menunjukkan ketajaman

SEVILLE, Sepanyol: Pep Guardiola berkata Erling Haaland yang ‘menakjubkan’ akan menjadi lebih berbahaya sekiranya Manchester City dapat menyesuaikan diri dengan penyerang Norway itu selepas dua jaringannya memberi inspirasi kemenangan 4-0 mengatasi Sevilla dalam Liga Juara-Juara.

Haaland yang menunjukkan ketajaman di depan gol memastikan City memulakan kempen dalam Kumpulan G dengan gaya tersendiri di Stadium Ramon Sanchez Pizjuan.

Pemain berusia 22 tahun itu meletakkan City di depan pada babak pertama dan kemudian menambah jaringan selepas rehat ketika Phil Foden dan Ruben Dias juga mencetak nama selaku penjaring.



Minggu ini Guardiola menegaskan bahawa City tidak boleh bergantung sepenuhnya dalam Liga Juara-Juara kepada Haaland.

Namun dia sudah membuat permulaan menakjubkan dalam kariernya berama City selepas berhijrah dari Borussia Dortmund dengan menjaringkan 12 gol dalam hanya tujuh perlawanan membabitkan semua kejohanan.

Haaland sudah meledak 25 kali dalam 20 aksi Liga Juara-Juara, jumlah dilakarnya termasuk ketika penampilan pertama buat City, Dortmund dan Red Bull Salzburg.

Bagaimanapun Guardiola menegaskan City masih belum belajar cara terbaik bermain bersama Haaland kerana mereka kadangkala cuba menggunakannya terlalu awal.



“Kami tidak bermula baik pada babak pertama. Kami mahu menyerang terlalu pantas. Kadangkala kami mahu segera melakukannya kerana Erling ada di sana,” kata Guardiola.

“Anda ada tarikan seperti ini jika dia ada, kami kadangkala mahu menyerang. Kami perlu lebih bersabar.

“Saya tidak kata tidak menyukainya! Saya rasa jumlah dijaringkannya sepanjang kariernya agak sama. Dia ada naluri mendapatkan gol yang menakjubkan.

“Dia meledak dua gol dari tengah dan ada peluang untuk dua atau tiga gol lagi. Kami ada jumlah jaringan yang menakjubkan dan kami mahu terus begitu.”



Diletakkan dalam kumpulan yang turut disertai Dortmund dan FC Copenhagen, City dijangka mara dengan mudah jika Haaland meneruskan prestasinya.

Hanya menang Liga Juara-Juara buat kali pertama akan melengkapkan musim City selepas bertahun-tahun gagal dalam kejohanan berkenaan.

AFP



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button