Piala FA Hok Kiter
KUALA TERENGGANU: ‘Piala FA Hok Kiter’, ‘Demi Tranungku (Terengganu)’, ‘ Wakaf Dua ke Bukit Jalil’, ‘Pemain TFC Kebanggaan Kami’.
Itu antara kain rentang yang disediakan penyokong skuad Penyu di Kampung Wakaf Dua, Marang demi menaikkan semangat pemain Terengganu FC (TFC) menjelang aksi final Piala FA menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Wakil peminat, Muda Mat Ali, 60 atau lebih dikenali sebagai ‘Pok Ping Bola’ berkata, beliau bersama penduduk kampung berganding bahu menyiapkan sepuluh kain rentang untuk dipasang di Stadium Nasional pada Sabtu ini.
“Demi TFC dan kebetulan cuti persekolahan, kami peminat setia skuad Penyu bergotong-royong menyediakan sepuluh kain rentang membabitkan lebih 50 penduduk kampung yang terdiri daripada golongan dewasa lelaki dan perempuan serta kanak-kanak.
“Walaupun terpaksa mengeluarkan modal lebih 1,000 untuk menyediakan kain rentang itu, tapi kami tidak kisah sebaliknya berasa puas dan teruja kerana sudah lama menanti untuk melihat pemain kesayangan beraksi di pentas final Piala FA.
“Dengan semangat yang ditunjukkan peminat yang bergotong-royong mulai jam 8 pagi hari ini sebelum kami bertolak ke Stadium pada Jumaat ini, kami harap pemain dapat peragakan aksi begitu bersemangat untuk merangkul gelaran selepas 11 tahun menanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
“Buat jurulatih, strategi terbaik anda ditagih bagi memastikan kami dapat melihat dengan lebih dekat trofi itu dibawa pulang ke Terengganu. Kami ‘pemain ke-12’ tetap berdiri teguh bersama pemain walaupun ribuan ringgit dihabiskan untuk sampai ke Bukit Jalil.
“Kepada penjaga gol, Rahadiazli Rahalim yang tercedera Sabtu lalu, bangkitlah kerana kami berada dijiwa anda lebih-lebih lagi saya mula menyaksikan perlawanan bola sepak di stadium sejak 1978 ketika berusia 16 tahun lagi. Kini selepas 46 tahun berlalu, sebelum saya menutup mata, harap misi ini berjaya sekali gus layak ke pentas Asia,”.
Seorang lagi peminat, Norhashida Endut, 39 berkata, demi TFC, dia sanggup turun padang untuk bergotong-royong membina kain rentang bersama penduduk kampung.
“Selepas 11 tahun menanti, kami begitu teruja, harapan buat pemain beraksilah bersungguh-sungguh demi lencana di dada. Kepada barisan kejurulatihan, terjemahkan strategi yang terbaik bagi memastikan benteng JDT roboh,” katanya yang memaklumkan penduduk akan bergotong-royong menyembelih dua ekor lembu jika trofi piala itu berjaya di bawa pulang ke bumi Terengganu.
BHOnline