PSG benam Juventus 2-1
PARIS: Kylian Mbappe menampilkan dua penyudah hebat ketika Paris Saint-Germain bermula dengan rentak kemenangan dalam Liga Juara-Juara selepas menewaskan Juventus 2-1 di Parc des Princes.
Gol pertama Mbappe hadir menerusi bantuan Neymar pada minit kelima dan yang kedua pada pertengahan babak pertama.
PSG dikejutkan pada babak kedua apabila pemain gantian, Weston McKennie menanduk masuk gol buat Juventus.
Namun Juve gagal menyerlah berbanding beberapa tahun lalu dan datang ke ibu kota Perancis itu tanpa beberapa pemain utama termasuk bekas bintang PSG, Angel di Maria.
Mereka gagal menemui gol penyamaan dan skuad dari Paris itu meraih tiga mata pertama dalam Kumpulan H.
“Saya sangat gembira dengan pasukan,” kata jurulatih PSG, Christophe Galtier. “Menang dalam keadaan sukar hanya akan membuatkan anda lebih kuat.”
Mbappe, bersama Galtier berdepan kritikan di Perancis 24 jam sebelum perlawanan apabila ketawa ketika ditanya mengenai keputusan kelab berkunjung ke Nantes menggunakan jet peribadi berbanding menggunakan keretapi yang lebih mesra alam.
Persembahan pemenang juara Piala Dunia itu tidak menggambarkan berita negatif mengganggu dirinya dan Mbappe mengesahkan kenapa PSG sangat terdesak untuk mengekalkannya ketika dia bersedia untuk ke Real Madrid hujung musim lalu.
“Kami tahu sebelum perlawanan ini bahawa kami ada kelemahan tetapi kami bekerja keras untuk memperbaikinya,” kata Mbappe kepada Canal Plus.
Dia menandatangani perjanjian baharu di Paris hingga 2025 dengan sasaran membawa gelaran pertama Liga Juara-Juara ke bandar berkenaan selepas berdekad melalui kekecewaan pada penghujung kejohanan.
“Saya ada peranan baharu dalam skuad. Jurulatih mahu saya menjadi seseorang yang boleh memegang bola di depan, bergerak ke belakang dan juga menjadi penyambung antara Leo dan Ney. Saya juga sedang menyesuaikan diri dengan peranan baharu itu sambil menjaringkan gol.”
AFP