Broker didakwa menipu pengarah syarikat barang lusuh

 

Oleh Pena Merah

Broker didakwa menipu pengarah syarikat barang lusuh
Kok Wei dihadapkan ke mahkamah, hari ini, atas pertuduhan menipu.

Seorang broker mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan menipu seorang pengarah syarikat perniagaan barang lusuh berhubung pembelian landasan kereta api terpakai sehingga menyebabkan kerugian RM210,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, Chin Kok Wei, 43, didakwa menipu K Poobalan, 62, dengan memperdayakan mangsa untuk mempercayai dia akan mendapatkan besi landasan kereta api terpakai, sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang tunai RM210,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Nove Metal Recycling Sdn Bhd, Jalan Sungai Besi, Cheras, pada jam 4.11 petang 14 November 2022.



Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abd Razak, menawarkan ikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah hingga kes selesai.

Peguam, Mohamed Tahir A Rahman yang mewakili Kok Wei bagaimanapun memohon ikat jamin rendah dikenakan terhadap anak guamnya memandangkan tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap, selain menanggung ibu bapa serta isteri yang tidak bekerja.

Hakim Azrul Darus kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pendakwaan, dan menetapkan 22 Mac depan untuk sebutan semula kes. – BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker