Filem Malbatt Misi Bakara papar kisah sebenar hero kejadian Black Hawk Down
KUALA LUMPUR – Dengan kos RM20 juta, filem Malbatt Misi Bakara bakal membawa standard baharu dalam industri perfileman tanah air.
Pengarahnya, Adrian Teh, mengakui selain penggambaran di Turki selama 7 minggu yang memakan kos yang tinggi, faktor mahu menceritakan kisah sebenar antara penyebab ia menelan belanja yang tinggi.
“Uniform yang dipakai semasa misi itu sudah obsolete, kami tidak dapat sewa, jadi uniform yang dipakai pelakon, kainnya kami cetak di Indonesia.
“Armoured personnel carrier (APC) juga tidak boleh dibawa dari Malaysia kerana prosesnya sangat sukar, jadi kami bina sendiri di sana.
“Begitu juga dengan penggunaan teknologi CGI, tidak banyak tetapi penting untuk menampakkan seperti kita di tahun 1993.
“Sejauh itulah kami serius dalam usaha mahu menceritakan kisah yang sebenar kepada masyarakat,” katanya dalam sidang media pelancaran filem tersebut di Hotel Berjaya Times Square, pada Sabtu.
Mewakili pihak penerbit, Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Pictures menegaskan, mereka tidak teragak agak-agak untuk mengeluarkan belanja yang tinggi demi memastikan kisah wira sebenar insiden Black Hawk Down itu dapat diceritakan kepada masyarakat.
“Filem ini mustahak untuk betulkan fakta. Black Hawk Down tunjukkan Amerika Syarikat sebagai hero tetapi kita tahu askar Malaysia adalah hero sebenar.
“Selain itu, saya nampak peluang untuk filem ini membuat keuntungan, boleh dijual kepada banyak negara seperti Asia Barat, China, Indonesia dan saya pasti negara-negara Islam juga akan memberi sokongan. Kalau dapat capai seperti Mat Kilau, sudah cukup bagus,” ujarnya.
Filem ini akan membawa penonton menyelami keberanian anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 menyelamatkan 70 anggota US Rangers yang terperangkap di Pasar Bakara, Mogadishu, Somalia.
Sebelum ini, penggemar filem sudah disajikan dengan filem Hollywood berjudul Black Hawk Down arahan Ridley Scott pada 2001, namun filem berdurasi hampir tiga jam itu, hanya sekali dialog ‘Malay Army’ disebut.
Seramai 114 anggota 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) Mekanis dari Batalion Malaysia (Malbatt) 1 terbabit dalam misi pengaman di Somalia pada 1992 hingga 1995.
Dibintangi Hairul Azreen, Zahiril Adzim, Bront Palarae, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi dan ramai lagi, filem yang turut mendapat kerjasama enam syarikat penerbitan termasuk Astro Shaw ini dijangka menemui penonton tahun hadapan.
© Astro Awani