AirAsia X sambung semula penerbangan KL-Sydney
KUALA LUMPUR: AirAsia X (AAX) menyambung semula perkhidmatannya dari Sydney ke Kuala Lumpur selepas menggantung penerbangan dari kedua negara disebabkan pandemik sebelum ini.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata, penerbangan rasmi dari Sydney semalam juga merekodkan faktor muatan memberangsangkan sebanyak 61 peratus.
Beliau berkata, perkhidmatan dua kali seminggu itu juga bakal menghubungkan Auckland, New Zealand mulai 7 November ini.
Selain itu katanya, AAX juga merancang meningkatkan perkhidmatan sedia ada kepada penerbangan harian menjelang suku pertama 2023 bagi memenuhi permintaan kukuh yang semakin meningkat.
AAX katanya turut akan menyambung semula penerbangan terus ke Melbourne dan Perth bermula awal November ini.
“Australia antara pasaran utama dan kami berbesar hati untuk kembali menyambung perkhidmatan ke negara itu serta menghubungkan tetamu antara Sydney dan Kuala Lumpur dengan tambang bernilai hebat.
“Kami turut teruja untuk mengalu-alukan 230 orang tetamu ke Malaysia dari Sydney dan menghubungkan mereka dengan rangkaian luas AirAsia seperti India, Indonesia dan Thailand,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Benyamin berkata, AAX menghargai usaha kerajaan Australia dalam mempercepatkan proses visa kepada pelancong untuk mengukuhkan lagi pemulihan industri pelancongan.
Beliau berkata, langkah Malaysia membuka sempadan negara tanpa sebarang sekatan perjalanan adalah usaha baik yang akan merangsang pemulihan ekonomi negara.
“Kami akan terus menyemak rangkaian penerbangan sedia ada dan memenuhi permintaan yang semakin meningkat di beberapa pasaran utama lain dengan penambahan perkhidmatan dalam masa terdekat.
“Kami berharap penyambungan semula perkhidmatan ini bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada para tetamu kami, malah akan memacu pemulihan industri pelancongan kedua-dua buah negara secara keseluruhannya.”katanya.
BHOnline