Uyaina Arshad umum nama bayi lelakinya selepas empat hari
Pelakon Uyaina Arshad mengumumkan nama anak lelakinya, Raja Urhan Raja Syahiran, hari ini.
Menerusi Instagramnya, pelakon yang pernah membintangi drama Lelaki Kiriman Tuhan ini memilih nama Urhan kerana memiliki maksud yang baik dan disifatkan hampir dengan nama ibunya.
“Urhan bermaksud pemimpin yang hebat. Selain dekat dengan nama ibu kami yang tercinta Noor Alhan, nama Urhan juga diambil dari nama Sultan Empayar Uthmaniyyah yang kedua iaitu Sultan Orhan Gazi.
“Semoga Raja Urhan membesar menjadi seorang khalifah yang baik di muka bumi ini dan dapat memberi kebaikan kepada ramai orang,” tulisnya.
Walau bagaimanapun, Uyaina belum berkongsi wajah anaknya itu.
Khamis lalu, Uyaina selamat melahirkan anak lelaki hasil perkongsian hidup dengan suaminya, Raja Syahiran menerusi kaedah pembedahan.
Pasangan selebriti ini berkenalan pada awal 2019 menerusi program terbitan Astro sebelum Raja Syahiran mengambil keputusan merisik Uyaina pada tahun yang sama.
Syahiran dan Uyaina berkahwin pada 20 Disember tahun lalu di Colony Star Boulevard, Kuala Lumpur City Centre (KLCC).