Pelajar Sabah mula terima PerantiSiswa

(Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (tiga dari kiri) menyampaikan PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada seorang pelajar di Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu, semalam)

Oleh Rohana Man

KOTA KINABALU – Seramai 100 pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negeri Sabah menerima PerantiSiswa Keluarga Malaysia Fasa 1 yang disampaikan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad di Universiti Malaysia Sabah (UMS).



Antara pelajar yang menerima peranti siswa tersebut adalah dari kolej dan universiti seperti Kolej Antarabangsa Almacrest, Politeknik Kota Kinabalu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan UMS.

Menurut Noraini, jumlah keseluruhan pelajar yang telah diluluskan permohonan di negeri itu adalah seramai 3,748 orang dan daripada jumlah itu, seramai 100 telah menerima peranti tersebut.

Katanya, jumlah itu adalah yang diperakui layak diterima daripada keseluruhan 5,565 permohonan Fasa 1.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 1,817 baki permohonan masih dalam proses tapisan sebelum diluluskan,” katanya pada Program Sarapan Menu Keluarga Malaysia dan Majlis Penyerahan PerantiSiswa Keluarga Malaysia di UMS, di sini, semalam.



Turut hadir pada majlis itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Yakub Khan.

Setakat hari ini, kerajaan telah meluluskan 97,635 permohonan untuk mendapatkan PerantiSiswa Keluarga Malaysia dari kalangan pelajar IPT seluruh negara.

Kelulusan pemberian PerantiSiswa Keluarga Malaysia itu telah dibuat secara berperingkat dan pengagihan akan disempurnakan dalam tempoh tiga bulan.

“Kepada pelajar IPT B40 yang masih belum memohon, saya minta supaya segera membuat permohonan Fasa 2 yang masih dibuka sehingga 30 September ini,”tambah Noraini.



Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia diluluskan dalam Belanjawan 2022 yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Dalam satu perkembangan lain dan ketika mengulas mengenai pelantikan jawatan Naib Canselor UMS yang baharu, Noraini berkata, lima calon yang disenaraikan masih dalam peringkat penilaian.

Beliau berkata, proses pemilihan calon Naib Canselor melibatkan proses tertentu yang mana jawatankuasa tetap pemilihan akan mengadakan mesyuarat sebelum calon dipanggil dan dinilai.

“Saya belum lagi terima (senarai) calon berkenaan.



“Kita ada panel tetap yang membuat pemilihan dan ia masih dalam penilaian,” katanya.

 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button