Rina Harun kena lagi
(Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Norliza Abdul Rahim turut mengkritik video promosi program Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang memaparkan bahasa kasar terhadap golongan wanita)
Oleh Rohana Man
“Bangun lambat
Bangun lambat
Semuanya lambat
Perempuan ni
Wanita ni
Semuanya lambat
Ehh..bangkitlah…bangkit
Bangun daripada tidur
besok kat PWTC atau WTC KL
Program aku dengan ni…Datuk Seri Rina
Dengan kementerian
dekat belakang
Korang bacalah sendiri
besok sapa-sapa nak masuk
korang datang jer kat sana
pukul 9 pagi
korang jumpa aku
aku nak belasah kepala korang
baru kita bangkit..”
NIAT dan usaha untuk membantu memperkasakan wanita dalam bidang keusahawanan menerusi Program Keusahawanan Wanita Bangkit@KPWKM menjadi sebaliknya apabila tayangan video promosi program tersebut dalam TikTok yang kemudian dikongsi di laman Twitter menerima kecaman pemimpin wanita dan warganet.
Program anjuran bersama Yayasan Kebajikan Negara & Usanita itu menampilkan pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor selaku Duta Perintis Usanita dan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Hassan yang berlangsung semalam (13 September) dikecam selepas skrip yang dilontarkan Rosyam dalam video tersebut memaparkan ayat-ayat yang menjatuhkan maruah wanita.
Akibatnya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga & Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang turut memegang watak utama dalam video itu menerima kecaman.
Selepas beberapa kali menonton video terhangat hari ini, penulis menyimpulkan bahawa memang ada unsur-unsur tidak sopan dan ganas terhadap wanita, memperlekehkan wanita dan menonjolkan imej wanita yang kononnya sering datang lewat ke majlis kerana terlewat bangun tidur.
Selain itu, dialog ‘semuanya lambat’ seolah-olah menunjukkan wanita kerap membuat tindakan yang lambat termasuk membuat keputusan penting.
Ini tentunya menjejaskan imej wanita profesional sebagai pembuat keputusan di sesebuah organisasi atau institusi, sedangkan begitu banyak jawatan ketua pegawai eksekutif, ketua jabatan dan ketua pengarah menjadi milik wanita hari ini.
Malah jawatan naib canselor universiti yang sebelum ini dimonopoli kaum lelaki, kini sudah ada wanita menyandangnya.
Rina sepatutnya belajar daripada banyak pengalaman lalu yang menampakkan betapa tidak bijaknya beliau dalam menjalankan tugas sebagai menteri yang menjaga hal ehwal wanita.
Sebelum ini, tular Rina membersihkan tahi cicak di lantai sebuah sekolah yang dilawatinya dan menyarung kasut tumit tinggi ketika melakukan tinjauan mangsa banjir di sebuah pusat pemindahan sementara pada Disember 2021.
Terfikir juga tentang pasukan media bersama Rina seperti Setiausaha Akhbar dan Pegawai Media yang sepatutnya menasihati Rina sebelum melakukan sesuatu yang berisiko merosakkan imejnya sebagai menteri.
Apa peranan mereka? Berpeluk tubuh dan mendiamkan diri sahajakah sehingga boss sendiri dikecam merata tempat dalam selang waktu yang tidak lama.
Sepatutnya apa-apa sahaja kenyataan media sama ada dalam bentuk bertulis atau video termasuk yang dipaparkan di media sosial perlulah melalui tapisan dari pejabat media untuk diteliti sebelum diluluskan penyiaran.
Penulis tidak pasti siapa di belakang tabir pasukan media Rina yang nampaknya sangat lemah sehingga gagal melindungi boss sendiri dalam permasalahan yang sebenarnya boleh dielakkan.
Tentang video promosi tersebut, sudah terang lagi bersuluh bahawa ayat-ayat kasar dan tidak beradap telah digunakan untuk menarik lebih ramai penyertaan wanita dalam program yang dianjurkan itu.
Dialog … “korang jumpa aku
aku nak belasah kepala korang
baru kita bangkit..” ini amat mengguris hati kaum wanita.
Seolah-olah nak kena hentak dulu, baru wanita mampu bertindak pantas dalam apa sahaja bidang yang diceburi.
Dialog yang digunakan bukan sahaja tidak sopan untuk sebuah acara rasmi kementerian, malah amat jelek kerana menghina wanita yang kononnya lambat dalam segala hal.
Antara pemimpin wanita yang mengulas video tersebut termasuklah Ahli Parlimen Penggerang, Datuk Seri Azalina Othman Said, Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia, Norliza Abdul Rahim.
Azalina secara sinis mencadangkan kepada Rina supaya membuang perkataan ‘wanita’ pada kementeriannya susulan video yang tular itu.
Katanya, video seperti itu menjadikan segala usaha kementerian terbabit dalam menentang keganasan terhadap wanita menjadi sia-sia.
“YBM (yang berhormat menteri), elok @KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) ditukar kepada Kementerian Pembangunan Keluarga,’… buang je perkataan ‘wanita’.
“Rugi semua usaha kementerian dalam isu menentang keganasan terhadap wanita, bagai mencurah air ke daun keladi. Kesian,” kata Azalina dalam ciapan di Twitter.
Hannah yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pula berkata, cukuplah tiga tahun menjadikan KPWKM sebagai bahan gurauan.
“Kalau Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob betul-betul serius mengenai perjuangan Keluarga Malaysia, gugurkanlah menteri sebegini yang memperlekehkan peranan wanita.
“Yang harus ‘bangun daripada tidur’ adalah Rina Harun dan Timbalan Menteri beliau (Siti Zailah Yusoff daripada PAS).
Tiga tahun sudah melebihi tempoh percubaan untuk mereka ‘bangkit’ buat kerja,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Norliza memberi peringatan kepada Rina supaya lebih fokus kepada isu-isu yang lebih penting.
Katanya, Rina dinasihatkan tidak muncul mengeluarkan kenyataan atau tindakan hanya selepas sesuatu isu itu menjadi tular.
“Isu Bella terutamanya menjadi tanda tanya, apa tindakan susulan daripada YB? Rentetan kepada penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak dilihat seperti tidak berfungsi.
“Saya mohon agar YB Rina Harun lebih fokus kepada polemik yang lebih mendalam. Isu kanak-kanak dan wanita yang banyak hari ini, terutamanya gangguan seksual dan keganasan rumah tangga perlu menjadi fokus utama sepatutnya,” katanya dalam Facebooknya hari ini.
Dalam pada itu, Norliza turut memberi nasihat kepada Rosyam agar menggunakan bahasa yang lebih baik dan bukan merendah-rendahkan wanita.
“Nampak seperti isu kecil tetapi hati wanita ini mudah tersentuh. Benar jika wanita merajuk siapa yang akan pujuk tetapi kalau sudah tawar hati, wanita juga punya harga diri. Berhentilah menjadikan wanita sebagai bahan gurauan,” ujarnya.