USM hantar 180 atlet ke SUKUM
(Profesor Datuk Dr. Nor Azazi Zakaria (kanan) bersemangat selepas menerima bendera sebagai simbolik pelantikannya sebagai Ketua Kontinjen Universiti Sains Malaysia (USM) dalam Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) ke-44 sambil diperhatikan Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan (dua dari kanan).
Oleh Azrin Muhammad
GEORGETOWN – Universiti Sains Malaysia (USM) menyasarkan 26 pingat emas menerusi penyertaan 180 atletnya dalam Sukan Staf Antara Universiti Malaysia (SUKUM) ke-44 yang akan berlangsung mulai 17 hingga 24 September di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut Ketua Kontinjen USM, Profesor Datuk Dr. Nor Azazi Zakaria, penyertaan universiti itu dalam edisi kali ini dilihat berpotensi tinggi menyumbangkan pungutan pingat emas berbanding tahun sebelumnya.
“Sebanyak 97 pingat emas akan dipertandingkan sepanjang kejohanan, 26 pingat emas daripadanya akan menjadi sasaran USM menerusi tujuh acara iaitu futsal, petanque, ping pong, bola sepak (veteran), olahraga, berbasikal dan boling tenpin.
“Edisi lalu, USM hanya mampu berada di tempat kedua dan mengekori rapat pungutan pingat keseluruhan di belakang juara bertahan, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dengan hasil kutipan 17 emas, 11 perak dan 17 gangsa,” katanya dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
Terdahulu, Azazi menerima bendera kejohanan dalam Majlis Penyerahan Bendera Kejohanan SUKUM 2022 sebagai simbolik lantikan ketua kontinjen.
Turut hadir Naib Canselor USM, Profesor Datuk Dr. Faisal Rafiq Mahamd Adikan; Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi USM, Profesor Datuk Dr. Abdul Rahman Mohamed; Timbalan Naib Canselor Kelestarian dan Pembangunan Institusi USM, Profesor Dr. Md. Roslan Hashim dan Pengarah Pusat Sukan dan Rekreasi USM merangkap Ketua Urusetia Kontinjen SUKUM 2022, Idrus Rapie.
Sementara itu, Azazi yang juga Pengarah Kampus Kejuruteraan USM berkata, para atlet perlu berusaha dan berjuang bersungguh-sungguh mengangkat nama USM sebagai antara universiti terbaik dalam temasya berkenaan.
“Atlet-atlet USM perlu menunjukkan contoh adab dan disiplin yang tinggi, patuh pada arahan dan peraturan kepada pelajar bagi memupuk semangat cintakan universiti dengan memperoleh kejayaan,” katanya.