Pastikan bekalan keperluan mencukupi menjelang Monsun Timur Laut
PUTRAJAYA: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bersama beberapa kementerian terbabit sudah diarah bersiap sedia untuk memastikan bekalan barangan keperluan sentiasa mencukupi menjelang musim Monsun Timur Laut.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata selain kementeriannya bersama NADMA, turut terbabit adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Beliau yang mempengerusikan Mesyuarat ke-17 Pasukan Jihad Tangani Inflasi petang ini berkata, arahan persediaan untuk memastikan bekalan mencukupi itu terutama membabitkan negeri yang dijangka terjejas akibat bencana alam, tanpa memberi kesan ketara terhadap harga barangan keperluan.
Persiapan itu, katanya selari dengan Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pada Isnin lalu yang mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) bagi menghadapi Monsun Timur Laut.
“Ini termasuk dari segi peningkatan stok mahupun perancangan logistik pengedaran ke negeri-negeri terbabit seperti trak pengisian minyak bergerak (ROVR) bekalan petrol, diesel dan sebagainya.
“Bekalan dan harga ayam serta telur ayam gred A, B dan C didapati stabil. Bagaimanapun, pemantauan berterusan dilakukan di semua peringkat pengeluar, pemborong dan peruncit bagi memastikan ia terus stabil,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pasukan Jihad Tangani Inflasi.
Monsun Timur Laut signifikan dengan kejadian hujan lebat dan banjir besar terutama di negeri pantai timur, dengan Kelantan, Terengganu dan Pahang dijangka mengalami hujan lebat monsun bermula November hingga Disember 2022.
Sementara Johor, Sabah dan Sarawak dijangka berhadapan hujan lebat monsun bermula Disember 2022 hingga Januari 2023.
BHOnline