Samy Vellu berjaya bangunkan sektor infra negara

KUALA LUMPUR: Tun Dr S Samy Vellu yang meninggal dunia hari ini banyak berjasa dalam membangunkan sektor infra negara, sepanjang memegang portfolio Menteri Kerja Raya dari tempoh 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata sumbangan signifikan mendiang termasuklah pembangunan beberapa lebuh raya yang kini menjadi nadi penting penghubung utama rakyat, mobiliti logistik perniagaan, akses ke lokasi pelancongan, pendidikan, pertanian dan juga sektor-sektor lain.

Katanya, pembinaan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Sungai Besi (BESRAYA), Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 adalah antara pembangunan infra yang berlaku di zaman beliau menerajui Kementerian Kerja Raya (KKR).



“Jambatan ikonik negara, Jambatan Pulau Pinang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua) juga adalah projek mega di bawah pentadbiran beliau, selain pembinaan bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan struktur ikonik pintu gerbang bangunan Parlimen berbentuk huruf M yang membawa maksud Malaysia.

“Pembangunan infra-infra ini memberi impak yang besar dalam melandskapkan ekonomi Malaysia menjadi sebuah negara yang gemilang pada masa kini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Fadillah berkata, sebagai sebuah kementerian yang mendukung pembangunan infrastruktur negara melalui perkhidmatan kejuruteraan dan teknikal, jasa mendiang sudah pasti akan terus diingati sampai bila-bila.

Katanya, khidmat bakti dan pengorbanan mendiang menerajui KKR akan terus terpahat dalam sejarah pembangunan Negara.



“Seluruh KKR dan agensi Jabatan Kerja Raya (JKR), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button