Tak tahu menantu terbabit dadah

TUMPAT: Bapa kepada Rosnazirah Mohd Naim, ejen jualan kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki di sini pada petang kelmarin, mengakui tidak mengetahui mengenai pembabitan menantunya dengan kegiatan dadah.

Warga emas berusia 70 tahun itu berkata, berat hatinya untuk mempercayai bahawa menantunya yang berusia 36 tahun itu terbabit sindiket penyeludupan dadah, kerana lelaki itu banyak menjalankan perniagaan termasuk memelihara haiwan ternakan.

“Saya tak tahu, rasa susah nak percaya. Tapi kalau dia betul-betul terbabit (sindiket dadah), kenapa perlu libatkan anak saya, kenapa dia (Rosnazirah) yang diculik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Semat Jal, di sini, hari ini.



Dalam kejadian jam 5.10 petang kelmarin, ejen jualan kosmetik berusia 36 tahun dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, di sini.

Wanita itu dilarikan dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios dan penduduk memaklumkan melihat mangsa dibawa menaiki bot ke Thailand, sebelum kereta terbabit ditemui jam 10 malam kelmarin di Kampung Kuala Jambu.

Siasatan awal pihak polis mendapati suami kepada mangsa terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah dan polis sudah menahan tiga individu berusia 25 hingga 47 tahun termasuk suami mangsa bagi membantu siasatan.



Warga emas itu berkata, sehingga hari ini dia masih terkilan kerana gagal menyelamatkan mangsa pada petang Selasa lalu ketika sedang bergelut dengan dua lelaki yang mengheret anaknya itu masuk ke dalam kereta.

Katanya lagi, jika tidak difikirkan pistol yang ditunjukkan penjenayah itu, sudah pasti dia akan cuba menyerang demi menyelamatkan anak keenam dari 12 beradik itu.

“Saya rela mati demi anak dan ketika kejadian, saya diacu sebilah pisau oleh lelaki itu, namun masih cuba melawan sebelum terpaksa berundur apabila mereka mengeluarkan pistol,” katanya.

Ibu mangsa yang menghidap penyakit buah pinggang tahap lima pula berkata, sehingga kini rasa trauma masih dirasai dan sedikit sebanyak semakin menjejaskan tahap kesihatannya.



Sambil memohon orang ramai mendoakan keselamatan anaknya dan dipulangkan dengan selamat, dia merayu tidak ditularkan berita tidak benar mengenai keluarganya.

“Entah bagaimana nasib anak saya sekarang yang katanya sudah dibawa ke negara jiran, hidup atau mati kami tidak tahu…tapi jauh di sudut hati saya, mengharapkan anak ditemukan dengan selamat,” katanya.

BHonline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button