Anirudh Ravichander bakal gegarkan Axiata Arena malam esok
KUALA LUMPUR – Penyanyi dan komposer muda Kollywood, Anirudh Ravichander bakal menggegarkan Axiata Arena, Bukit Jalil, di sini melalui siri jelajah Once Upon A Time Tour, malam esok.
Dalam tempoh 24 jam selepas jualan tiket dibuka pada 25 Julai lalu, 8,500 tiket berharga antara RM199 hingga RM699 ‘disambar’ peminat.
Apa yang menarik, konsert bintang berusia 32 tahun itu bakal menjadi persembahan pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi xyloband.
Pengarah Kreatif, MC Entertainment, Edwin Anand Raj berkata, pihaknya sanggup mengeluarkan kos besar untuk membawa pakar dalam teknologi xyloband dari United Kingdom (UK).
Pakar terbabit pernah menggunakan teknologi sama untuk band rock antarbangsa, Coldplay.
“Konsep persembahan cukup berbeza kerana bertemakan ‘glow in the dark’.
“Ketika pertemuan dengan Anirudh, beliau mahukan persembahan berbeza.
“Anirudh tidak mahu berdiri dan menyanyi sahaja. Kebetulan, beliau meminati Coldplay. Jadi, kami cadangkan bawa konsep seperti Coldplay ke dalam persembahannya.
“Pada mulanya, Anirudh tidak yakin kami mampu melakukannya. Namun, selepas diberitahu kami boleh merealisasikan impiannya, dia bersetuju.
“Melalui teknologi xyloband, peminat dapat melihat keunikan lampu yang akan mengikut rentak lagu.
“Penonton juga akan dibekalkan gelang LED yang sudah diprogram,” katanya.
Selain Anirudh, Konsert Once Upon A Time selama lebih dua jam itu akan diserikan dengan kehadiran rakan duet Anirudh, Jonita Gandhi.
Jonita dan Anirudh sering berganding menyumbangkan suara untuk runut bunyi filem Kollywood.
Konsert turut disertai penyanyi yang lahir daripada program realiti India, Super Senior selain penyanyi tempatan, Balan Kash.
Konsert Once Upon A Time akan diiringi kira-kira 20 pemuzik diterbangkan dari India.
Kerjaya Anirudh sebagai komposer bermula pada 2012 menerusi lagu pertama ciptaannya berjudul Why This Kolaveri Di yang dihasilkan untuk filem berjudul 3.
Lagu itu menjadi tular sehingga merekodkan lebih 300 juta tontonan di YouTube.
Untuk dua tahu berturut-turut sejak 2017, Times of India memberi gelaran ‘Most Desirable Man in Chennai’ (Jejaka Idaman Chennai) kepada Anirudh.
Anirudh yang juga anak pelakon Ravi Raghavendra turut meraih pelbagai anugerah. Antaranya dua trofi Anugerah Filmfare dan sembilan trofi Anugerah SIIMA.
Anirudh dilaporkan bakal melebarkan sayap ke industri perfileman Bollywood apabila mendapat kepercayaan Datuk Shah Rukh Khan menyumbangkan lagu bagi filem Jawan.
© Astro Awani