Ronaldo meledak kali pertama musim ini

LONDON: Cristiano Ronaldo meledak kali pertama musim ini ketika Manchester United kembali ke landasan sebenar mereka dalam kempen Liga Europa menerusi kemenangan 2-0 mengatasi Sheriff Tiraspol, sebentar tadi.

Ronaldo melalui tujuh perlawanan tanpa gol musim ini sebelum penyerang United itu meledak penalti babak pertama menentang juara Moldova itu.

Ia adalah gol ke-699 buat penyerang berusia 37 tahun itu bersama kelab tetapi sambutan sederhana Ronaldo mengiringi kemenangan ketiga berturut-turut United di tempat lawan musim ini.



Ini ialah jadual tidak popular membabitkan Ronaldo yang cuba dielakkannya ketika dia gagal keluar dari Old Trafford dalam usaha mencari kelab Liga Juara-Juara pada musim panas.

Namun bintang Portugal itu pastinya lega apabila berada dalam senarai penjaring selepas Jadon Sancho meletakkan United di depan selepas dia diketepikan daripada skuad England.

“Kami boleh menjangkakan perkara ini apabila anda terlepas pramusim, jadi dia perlu bekerja keras dan mendapatkan kembali kecergasan, kemudian dia akan menjaringkan lebih banyak gol,” kata bos United, Erik ten Hag.

“Anda boleh lihat ia semakin hampir dan apabila dia semakin cergas, dia akan menamatkannya. Saya rasa dia amat komited untuk melakukan projek ini dan pasukan ini.



“Dia perlukan gol itu. Beberapa kali dia hampir melakukannya. Anda lihat dia sudah berhubung dengan pemain lain di sekelilingnya.

“Kami gembira buatnya dan pasukan mahu dia menaringkan gol, jadi ia bagus.”

United tewas perlawanan pembukaan Kumpulan E 1-0 berdepan Real Sociedad awal pagi Jumaat lalu.

Ia membuatkan skuad Ten Hag tidak boleh lagi melakukan kesilapan di Chisinau dan mereka menepati sasaran ketika berdepan kelab Sheriff yang menewaskan Real Madrid pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara musim lalu.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button