Khairy Jamaluddin dakwa beliau akan kekal setia bersama UMNO
KUALA LUMPUR – Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan masih ahli UMNO dan tetap setia bersama parti itu.
Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO itu mengakui tidak gemar membaca berita yang berulang kali muncul, termasuk dakwaan kononnya beliau meninggalkan UMNO.
“Saya tak suka layan berita macam ini tapi ramai mesej dan tanya. Saya tetap UMNO. Saya menang KP (Ketua Pemuda UMNO) tapi tak dilantik Kabinet dan dipulau, tetap UMNO.
“… macam-macam penganiayaan politik, tetap UMNO. Saya kalah Presiden dan dipandang semacam, tetap UMNO. Kena cari kawasan baharu pun, tetap UMNO. Jangan risau. Dulu, kini, selamanya,” katanya menerusi hantaran di akaun Instagram.
Kenyataan Khairy itu dengan sendirinya menafikan video bertajuk ‘KJ Keluar UMNO!! Sah, Keputusan Muktamad Khairy Jamaluddin!!’ yang disiarkan menerusi Youtube, pada 14 September lalu.
Khairy sebelum ini memaklumkan tidak lagi mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan dijangka bertanding di kerusi lain.
Spekulasi timbul mengatakan Khairy dijangka kekal bertanding di Negeri Sembilan iaitu di Parlimen Tampin, selain ada pihak mendakwa beliau akan ke Parlimen Putrajaya.
© Berita Harian