Mahathir pun pernah adakan pilihan raya pada November – Zahid Hamidi
KUALA LUMPUR – Pembangkang didakwa cuba menghasut rakyat kononnya mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 tahun ini terdedah kepada banjir.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata mereka sebaliknya lupa Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menjadi Perdana Menteri pernah mengadakan PRU pada November 1999, namun tidak dijadikan isu.
“Terbaru tahun lalu, PRN Sarawak diadakan pada 18 Disember 2021. Pembangkang pula tewas teruk.
“Ternyata pembangkang sebenarnya takut mereka kalah kerana kepercayaan terhadap PH (Pakatan Harapan) hilang apabila Dr Mahathir tak mahu serah jawatan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain manifesto mereka gagal laksanakan.
“Sebab itu mereka perlu masa untuk menghasut rakyat supaya tidak mengundi BN. Jelajah PH masih sekerat jalan dan dijangka berakhir Februari tahun depan,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, BN tidak akan memberikan hayat politik terhadap Pakatan Harapan (PH) dan musuh BN untuk memberikan mereka kelebihan menyelesaikan jelajah memburukkan BN hingga ke tahun depan.
“Masa yang berbaki sebelum parlimen dibubarkan digunakan oleh musuh BN sebaik-baiknya. Mereka berterusan memburukkan BN dan ini sesuai dengan ungkapan Rafizi (Rafizi Ramli, Timbalan Presiden PKR) tugas mereka ialah menghasut rakyat supaya membenci BN.
“Namun kita perlu buktikan hasutan mereka kali ini tidak akan berjaya. Rekod 22 bulan PH ialah bukti nyata mereka hanya menjual harapan semata-mata,” katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, pelancaran jentera parti komponen dan juga jentera BN yang terus berlangsung memberi makna jentera BN dalam keadaan bersiap siaga untuk pembubaran parlimen dan PRU.
“Persiapan ini bukan sahaja berlaku dalam BN. Jelas PH dan parti bukan BN juga sedang menjelajah di seluruh negara untuk kempen politik mereka. Namun BN sebagai blok politik yang stabil dan berpengalaman luas mentadbir tidak bersifat populis dan menjual harapan seperti PH.
“Yang dijanjikan ialah komitmen realistik yang boleh dicapai berdasarkan situasi prestasi ekonomi semasa. Sebab itu, BN boleh sahaja jadi populis untuk janjikan tol percuma, pendidikan percuma seperti manifesto palsu PH. Tapi BN tak sedemikian,” katanya.
Sebaliknya, kata Ahmad Zahid, pembangkang yang jelas gagal melunaskan janjinya kemudian menggunakan alasan dengan menganggap manifesto bukan kitab suci.
“Sebab BN tahu untuk menghapuskan keseluruhan hutang peminjam PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) adalah tidak logik kerana setiap penghutang perlu melunaskan hutang dan ini juga dituntut dalam Islam.
“Begitu juga menawarkan pendidikan percuma di universiti adalah tindakan populis sedangkan kita memerlukan pendapatan untuk membayar gaji pensyarah, kakitangan sokongan universiti, menyelenggarakan kolej universiti, melanggan bahan rujukan perpustakaan universiti, membiayai peruntukan bagi meningkatkan lagi pembelajaran, penyelidikan dan pengajaran universiti untuk anak bangsa negara,” katanya.
Katanya, BN sedar hakikat ini dan tidak akan menipu rakyat dengan janji muluk-muluk seperti ini dan biarlah PH yang menjual janji kosong dihukum rakyat pada PRU ke-15 ini.
© Berita Harian