Hujan lebat hulu sungai cetus banjir di hulu Baram

KUCHING: Seramai 530 penduduk Kampung Long Bemang di pedalaman bahagian Miri terjejas akibat banjir yang melanda sejak Ahad lalu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri bagaimanapun, berkata tiada pemindahan penduduk dijalankan setakat ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Long Bemang yang diterima pada jam 7.23 pagi ini, paras air berada pada ketinggian 0.8 meter.



“Terdapat 100 kediaman penduduk yang terjejas di kampung itu dan pemantauan berterusan dijalankan.

“Berikutan paras air yang membimbangkan selepas banjir mula melanda pada jam 6 pagi Ahad lalu, bekalan elektrik di kampung itu ditutup bagi memastikan keselamatan penduduk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, paras air hari ini didapati menurun sedikit namun hujan masih berterusan di kawasan itu termasuk di hulu sungai.

Selain Long Bemang, beberapa penempatan lain di Sungai Tutoh dan Sungai Apoh di hulu Baram turut terjejas antaranya Kampung Long Panai dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tutoh Apoh.



“Bagi situasi di sekolah pula, guru yang bertugas melaporkan bahawa kelas pembelajaran untuk dua hari ini dibatalkan berikutan paras air yang masih tinggi.

“Sekolah akan dibuka semula selepas pihak sekolah mendapati keselamatan semua pelajar terjamin manakala Klinik Kesihatan Long Bemang beroperasi seperti biasa,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button