City hantar fisioterapi bantu Haaland di Norway

LONDON: Manchester City menghantar pakar fisioterapi Mario Pafundi ke kem latihan Norway untuk memantau dengan lebih dekat perkembangan Erling Haaland.

Juara bertahan itu gembira dengan permulaan baik pemain yang dibeli pada musim panas lalu apabila menjaringkan 14 gol dalam sembilan perlawanan pertamanya.

Bagaimanapun mereka sedar musim terakhir bintang muda itu di Borussia Dortmund dibelenggu kecederaan.



Dan mereka mahu memastikan dia terus berada dalam rutin latihan yang dilihat bagus ketika enam minggu awal musim ini.

Jurulatih Norway, Stale Solbakken mendakwa Pafundi akan bertugas selaku fisioterapi ketiga dan bukan hanya bertugas buat Haaland.

Bagaimanapun dia mengakui penyerang itu menyarankan pegawai perubatan perlu ditambah ke dalam staf belakang tabir untuk aksi Liga Negara-Negara berdepan Serbia dan Slovakia itu.

Ia adalah rejat perlawanan antarabangsa pertama sejak pemain itu menjadi pemain rasmi City dan kelab baharunya itu mahu membina hubungan yang rapat dengan pasukan kebangsaan diwakilinya.



Sumber di Etihad berkata mereka menyasarkan untuk berkongsi kaedah latihan yang terbukti berkesan ketika Haaland memulakan kehidupan sensasi di England.

Mereka menguruskannya dengan berhati-hati sejak pemain itu menyertai mereka pada 10 Julai dan setakat ini ia sudah membuahkan hasil.

Masih belum pasti sama ada Pafundi akan sekali lagi ke sana apabila Norway – yang tidak layak ke Piala Dunia – kembali ke perlawanan kompetitif pada Mac.

AGENSI



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button