Tahan malu, air kencing berbau hancing



Ketika membuang air kecil, ada yang perasan bau kencingnya agak hancing. Apa puncanya? Terdapat beberapa perkara yang boleh menyebabkan situasi ini berlaku.

Justeru, individu terpaksa menahan malu disebabkan air kencing berbau, yang mungkin disebabkan pelbagai faktor. Berikut puncanya:

1. Jenis makanan yang dimakan

Asparagus boleh menyebabkan kencing berbau hancing. Tetapi adakah anda tahu, bawang, bawang putih, kari, petai dan alkohol boleh mempunyai kesan yang sama?



Kesemuanya mengandungi sulfur yang kemudian dikumuhkan dalam air kencing sekali gus menghasilkan bau yang agak busuk. Malangnya, dalam kes ini tidak banyak yang boleh dilakukan kecuali melihat apa yang anda makan dan menerima hakikat air kencing berbau yang tidak menyenangkan.

2. Kehamilan

Salah satu simptom pada peringkat awal kehamilan ialah air kencing yang berbau. Ia disebabkan perubahan keseimbangan hormon. Anda juga akan kencing secara lebih kerap ketika fasa pertama kehamilan.

Wanita hamil menghasilkan lebih banyak darah yang mengalir ke seluruh badan. Seterusnya melalui buah pinggang. Ini bermakna mereka turut menghasilkan lebih banyak air kencing.



Namun, usah panik, simptom seperti kerap kencing dan kencing berbau tidak bermakna anda hamil. Bagaimanapun, jika anda mendapati jumlah air kencing meningkat atau jangkitan yis secara kerap, buatlah ujian kehamilan atau berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.

3. Dehidrasi

Jika air kencing berwarna kuning gelap dan berbau hancing, anda mungkin mengalami dehidrasi. Penyelesaiannya mudah, minumlah lebih banyak air.

Dalam beberapa jam selepas itu, kuantiti kencing akan menurun dan tidak akan berbau hancing. Kebiasaannya, ia mengambil masa kira-kira tiga jam untuk apa yang anda makan dan minum memberi kesan pada air kencing.



4. Jangkitan saluran kencing

Terdapat beberapa tanda yang menunjukkan berlaku jangkitan saluran kencing. Ini termasuk kencing pekat dan berbau busuk, sakit atau rasa terbakar ketika membuang air kecil selain sakit di bahagian bawah perut.

Jika anda perasan warna kencing anda menjadi lebih gelap dan berbau busuk, ia mungkin, seperti yang dinyatakan, disebabkan dehidrasi.

Tetapi jika ia muncul bersama salah satu simptom lain, berkemungkinan anda mengalami jangkitan saluran kencing. Jika anda tidak pasti, disarankan supaya bertanya kepada doktor.



Mereka boleh memberi nasihat perubatan dan memastikan rawatan secepat mungkin dijalankan dengan kebiasaannya pengambilan antibiotik diperlukan.

5. Ubat yang digunakan

Sesetengah ubat boleh memberi kesan pada warna dan bau air kencing. Sebagai contoh, sesetengah ubat berupaya menurunkan kandungan gula dalam darah kerana ia menghentikan proses gula yang diserap ke dalam buah pinggang dan diangkut ke dalam aliran darah.

Gula ini masuk ke dalam air kencing dan menyebabkan warna serta bau yang pelik.

Terdapat banyak ubat lain yang boleh menyebabkan kencing anda berbau seperti telur busuk, misalnya ubat yang diberikan untuk sakit sendi.

Tidak perlu bimbang jika berdepan situasi ini tetapi jika ubat yang digunakan tidak sesuai dengan anda, segeralah berjumpa doktor

6. Minum kopi

Kopi adalah makanan lain yang boleh mengubah bau kencing anda. Metabolit kopi atau produk sampingan daripada kopi apabila ia dipecahkan dalam badan boleh membuat air kencing berbau.

Kopi juga bersifat diuretik, bermakna ia membuatkan anda perlu banyak kencing. Diuretik boleh menyebabkan dehidrasi, jadi selain bau metabolit kopi, kencing juga mungkin berbau busuk kerana ia lebih pekat daripada biasa. Untuk mengelakkan dehidrasi, anda boleh cuba minum lebih banyak air sebelum kopi.

7. Batu karang

Batu karang juga boleh menjejaskan air kencing anda. Ia berkembang apabila garam dan mineral lain yang terdapat dalam air kencing melekat bersama dan membentuk mendapan seperti batu keras yang boleh menjadi sekecil butiran seperti pasir atau sebesar ketulan penuh kerikil.

Situasi itu boleh mengumpul bakteria dan membawa kepada jangkitan atau kadang-kadang pendarahan dan boleh mengubah bau air kencing.

8. Pengambilan vitamin

Ramai orang perasan bau air kencing mereka berbeza selepas mengambil vitamin. Tetapi tiada apa yang perlu dirisaukan jika anda membuat kesimpulan bahawa vitamin menyebabkan kencing anda berbau.

Vitamin cenderung lebih sedikit daripada apa yang benar-benar diperlukan oleh tubuh, anda jadi sering kencing dan membuang sebahagian kekotorannya.

Agensi



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker